Sunday 5 December 2010

KENAIKAN HARGA BARANG TIDAK BIJAKSANA


Oleh: CHANG SHAK HUNG

KENAIKAN harga petrol dan gas serta harga gula pada tengah malam 4 Disember 2010, merupakan satu kenaikan yang tidak mencerminkan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ seperti yang selalu dilaung-laungkan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional.

Di manakah logiknya kenaikan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat sedangkan kerajaan yang dipilih adalah untuk menolong rakyat dan bukannya untuk membebankan rakyat sekiranya ketidakmampuan kerajaan dalam menguruskan hal-hal kewangan negara. Alasan kerajaan untuk menaikkan harga bahan api dan gula berkenaan adalah disebabkan kenaikan harga pasaran dunia serta mengurangkan bebanan subsidi kerajaan.

Adakah pihak kerajaan sedar mereka telah membebankan rakyat dengan kenaikan tersebut terutamanya mereka yang berpendapatan rendah? Bukan itu sahaja, golongan belia juga telah terkena tempias akibat daripada ketidaktelusan kerajaan dalam mencari jalan alternatif yang lain selain mengalihkan beban tersebut kepada rakyat.

Adakah kerajaan sedar bahawa golongan belia yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana, tidak mampu untuk membina sebuah keluarga bahagia hasil daripada ketidakprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat?

Mereka yang belum mendirikan rumahtangga, berharap akan dapat mencapai hasrat berkenaan. Namun sedarkah kerajaan betapa sukarnya untuk membina sebuah keluarga dengan anak tanggungan di kemudian hari?

Walaupun golongan belia serta mereka yang berpendapatan rendah begitu berjimat-cermat dan berhati-hati dalam setiap perbelanjaan sebelum ini, kini dengan kenaikan tersebut telah memberi satu kesan sosial serta emosi kepada mereka.

Berkongsi pengalaman dengan seorang belia yang berpendapatan RM1,500 sebulan baru-baru ini, beliau terpaksa meminjam duit untuk membeli susu tepung untuk bayinya. Beliau terpaksa berbuat demikian kerana desakan hidup.

Selain itu juga, seorang belia yang berpendapatan gaji RM750 sebulan yang berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan pada februari 2011, terpaksa membuat keputusan drastik untuk menundanya ke satu tarikh yang belum diketahui. Alasan beliau bukannya ketiadaan duit untuk melangsungkan perkahwinan tetapi memikirkan masa depan anak yang akan dilahirkan setelah berkahwin nanti.

Melalui pengalaman hidup yang begitu susah dan membebankan, adakah kerajaan sedar golongan belia sedang berhadapan dengan masalah kewangan yang serius akibat daripada ketidakcekapan pengurusan kewangan negara secara keseluruhannya?

Mengulas kadar kemiskinan yang melanda negeri Sabah, kerajaan sepatutnya menerima laporan daripada Bank Dunia yang telah dibentangkan kepada Sabah bulan lalu, secara hati yang terbuka dan bukannya menafikan hasil laporan tersebut.

Kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman pada mesyuarat berhubung dengan kadar kemiskinan di Sabah beberapa hari yang lalu, telah memberitahu bahawa kadar kemiskinan tegar hanya tinggal 7,455 isi rumah berbanding dengan 24,100 pada akhir tahun lalu. Untuk ketua isi rumah yang miskin, ia hanyalah tinggal 24,247 orang sahaja.

Di sini, saya ingin mempersoalkan garis kemiskinan dan kemiskinan tegar yang harus dijadikan panduan untuk mengukur tahap kemiskinan tersebut. Adakah mereka yang berpendapatan isi rumah RM2,600 dengan anak 2 orang dan menyewa rumah serta tidak memiliki kereta dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar?

Bagaimana mereka yang berpendapatan isi rumah yang jauh lebih rendah daripada RM2,600? Mereka juga inginkan sebuah rumah yang dikategorikan sebagai keperluan asas dan memiliki sebuah kereta untuk memudahkan pergerakan mereka. Sungguhpun tiada kereta, mereka masih boleh bergantung dengan bas.

Bagaimana mereka perlu berhadapan sekarang memandangkan harga tambang bas akan dinaikkan ekoran daripada kenaikan harga minyak? Bagaimana golongan miskin akan berhadapan dengan masalah kenaikan harga barangan ekoran daripada kenaikan harga gula?

Bagi mereka yang makan gaji, mereka sering mengungkapkan bahawa ‘harga barang naik, gaji tak juga naik-naik’. Persepsi berkenaan adalah salah sama sekali memandangkan pihak majikan juga berhadapan dengan kenaikan kos pengurusan, kos pengangkutan serta terpaksa membayar kadar cukai yang lebih tinggi dan situasi sedemikian juga akan membebankan pihak majikan.

Perlu diingat bahawa kerajaan yang dipilih adalah untuk membantu rakyat dan bukannya membebankan rakyat. Tidak ada makna sekirannya diberikan jalan raya yang cantik, rumah kos rendah, parit yang sempurna, kepingan atap zink kepada penduduk kampung; sedangkan masalah sebenar rakyat terutamanya golongan belia adalah berkenaan dengan pendapatan yang boleh dibelanjakan, tidak diatasi dan ditangani dengan bijak.

No comments:

Post a Comment