Friday 10 December 2010

KETUANAN MELAYU Vs KETUANAN BAJAU?



Oleh: SARINA ABDUL GANIH (USM)

ANDAI Orang Melayu kini ‘hangat-hangat tahi ayam’ dengan kisah ‘Ketuanan Melayu Vs Ketuanan Rakyat’ demi mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu, bagaimana pula dengan kisah ‘Ketuanan Bajau’ yang sebenarnya langsung tidak mempunyai sebarang hak dan kedudukan istimewa di sisi Perlembagaan Persekutuan?

Ketuanan Melayu yang diwarisi Raja-Raja Melayu dan orang Melayu merupakan akar sejarah kepada pembentukan Tanah Melayu berkisar kepada Kesultanan Melayu pada ketika itu. Perubahan arus semasa membawa alunan perkembangan sosialisasi persada politik kaum Melayu di Semenanjung Malaysia sehingga Sultan Johor bertitah memperbetulkan takrif ‘Ketuanan Melayu’ sebenarnya ialah ‘Kedaulatan Melayu’.

Baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di Pusat Persidangan Antarabangsa Persada Johor pada 09 Disember 2010 bertitah:-

“Apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya. Awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya. Sejak dulu lagi, ketika negeri Melayu belum dijadikan Persekutuan, Raja-Raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagai tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta bersama membangunkan Tanah Melayu. Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak kaum lain terus dijaga dan dihormati serta dijamin Perlembagaan,”

Kendatipun begitu, negeri Sarawak sama seperti negeri Sabah tidak mempunyai Sultan atau Raja, namun kedaulatan hak dan kedudukan pelbagai kaum peribumi di jamin secara muktamad di dalam Perlembagaan Persekutuan; namun agak malang kerana berlaku kecelaruan siapakah ‘Tuan Sebenar’ di Sabah kerana tidak dinyatakan secara jelas di dalam undang-undang tertinggi Negara.

Ketika masyarakat Melayu sedang berpusu-pusu mempertikaikan ‘Ketuanan Melayu’, komuniti Bajau Sabah juga tidak ketinggalan untuk memperjuangkan hak dan keistimewaan mereka selama berabad-abad lamanya tanpa kesudahan, tetapi hanya tinggal angan-angan dan terus menjadi khadam kepada pendatang luar, termasuk Kadazan Dusun yang menganggap diri mereka sebagai ‘Tuan’ tanpa daulat; sedangkan sebelum kedatangan mereka, Komuniti Bajau telah lama bertapak di Sabah.

Nasib Komuniti Bajau Sabah ibarat ‘Papan Rejek’ di dalam negeri tumpah darah nenek moyang mereka kerana tidak mempunyai nilai, status-quo dan identiti kerana bukan sahaja tidak mendapat pengiktirafan dalam Perlembagaan Persekutuan, malah menjadi ‘Komuniti Setinggan’ yang dijenamakan sebagai masyarakat yang sinonim dengan istilah ‘Miskin Tegar’ sejak berkurun di negeri Sabah, sedangkan khazanah Bajau di laut tidak habis walau dipugar sejuta keturunan!

Saya tertarik dengan Fasal 160 Perlembagaan Persekutuan di bawah klausa Tafsiran, sejajar dengan Ordinan Tafsiran dan Fasal Am, 1948 menyatakan bahawa;

“Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan lahir, sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura atau ia adalah keturunan seorang yang tersebut.”

Dalam pada itu, Fasal 161A (6) (b) Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras Pemerintahan Negara, kedudukan istimewa bumiputera Negeri-negeri Sabah dan Sarawak, bumiputera ditakrifkan sebagai;

“Mengenai Sabah, seorang warganegara dan ianya adalah anak atau cucu kepada seseorang dari suatu kaum asli Sabah dan telah lahir (sama ada atau tidak pada atau selepas Hari Malaysia (31 Ogos 1957) di Sabah atau bapanya, pada masa ia lahir itu, adalah berdomisil di Sabah.”

Sebaliknya perkara 161A, 7 pula menjelaskan bahawa;

“Kaum-kaum yang akan disifatkan sebagai asli bagi Sarawak bagi maksud-maksud takrif ‘bumiputra’ dalam Fasal (6) ialah Bukitan, Bisayah, Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadayan, Kalabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lehanan, Punan, Tanjung dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melano, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun dan Ukit.”

Namun Fasal 160, Tafsiran terus membingungkan seolah-olah tercicir daripada relung hati semua Ahli Parlimen Malaysia kerana maksud ‘Persekutuan’ di dalam tafsiran Perlembagaan Persekutuan ialah “Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1957.”

Lalu di manakah kedudukan negeri Sabah dan Sarawak? Terlalu beratkah untuk Ahli Parlimen membuat usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sebelum generasi baru ‘Komuniti Bajau’ menderhaka kepada ‘Kedaulatan Melayu’ disebabkan Sabah dan Sarawak tidak ubah seperti ‘air basuhan tangan’ kepada ‘Tanah Melayu’ yang ditadbir ‘Sultan dan Raja Melayu’?

Bersetujukah anda, jika saya berpendapat Komuniti Bajau Sabah ialah orang ‘Melayu’ kerana sewajarnya mengikut tafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan sedemikian?

Sewajarnya Komuniti Bajau Sabah juga ‘Wajib’ mendapat hak dan kedudukan yang istimewa yang ditafsirkan sebagai ‘Kedaulatan Melayu’ Malaya kerana Bajau beragama Islam, mengamal adat istiadat Melayu dan lahir sebelum merdeka di Sabah (Persekutuan).

Sesuatu yang menarik untuk dikaji ialah dakwaan yang mengatakan bahawa Hang Tuah lima bersaudara ialah ‘Pahlawan Bajau’ kerana tinggal di Maritim dan pelayar yang hebat. Jika Hang Tuah daripada Komuniti Bajau, maka kata-kata keramatnya, ‘Tak Melayu Hilang Di Dunia’ merujuk kepada ‘Tak Bajau Hilang Dunianya’

(NOTA: Percambahan fikiran penulis berasaskan Perlembagaan Persekutuan bukanlah untuk menghina Raja-Raja Melayu namun menuntut hak yang sah menurut perundangan agar tidak ada pihak mengambil kesempatan menjadikan Bajau sebagai ‘Sambal Belacan’ dalam politik tanah air. Pandangan tersebut tidak semestinya pandangan Sabahkini.net).

No comments:

Post a Comment