LIAR…. Kelihatan anjing liar berkeliaran di kawasan pekan Tenom.
Oleh: MAIL MATHEW
MASALAH binatang berkeliaran di kawasan pekan khususnya, anjing akan ditangani pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan secepat mungkin sebaik sahaja arahan diterima daripada pihak agensi kerajaan yang bertanggung jawab ke atas urusan pemusnahan binatang itu dalam masa terdekat.
Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tenom (MDT), Wolfred Gentiu berkata demikian pada Khamis ketika memberitahu Sabahkini.net ketika diminta mengulas rungutan beberapa warga Tenom yang mempersoalkan kelewatan pihaknya memusnahkan binatang yang berkeliaran di kawasan pekan.
Tegasnya lagi, MDT kena mengikuti peraturan baru, sebelum melaksanakan penangkapan sebelum pemusnahan mana-mana binatang ternakan yang didapati berkeliaran di kawasan yang dilarang, khususnya di kawasan pekan kerana dikhuatiri akan membawa penyakit berjangkit, seperti penyakit anjing gila.
“Kalau dulu kita (PBT) minta kerjasama pihak Polis untuk melaksanakan urusan pemusnahan tetapi sekarang ini, peraturannya sudah berubah dan kita kena ikutlah semua peraturan itu,” tegas Wolfred dan mengharapkan warga Tenom bersabar.
Isu tersebut (anjing berkeliaran) disifatkan oleh warga Tenom sebagai isu tertunggak sejak tahun 2007 lagi dan tidak pernah selesai sehingga sekarang meskipun beberapa rungutan mereka diajukan kepada pihak majlis untuk tindakan.
Mereka (warga pekan) merasa bimbang bahawa kewujudan binatang-binatang tersebut di situ akan mencetuskan satu lagi masalah besar dari segi kesihatan selain ia menjijikkan mata memandang khususnya pelancong asing.
No comments:
Post a Comment