Thursday 26 July 2012

RAMADAN KONTANG DI TUARAN?




TUARAN: Para penduduk di Kampung Giling Laut, Tuaran, dekat sini, merayu kepada pihak Jabatan Air agar mengambil tindakan segera terhadap masalah ketiadaan bekalan air di kampung mereka yang masuk hari kelima semalam.

Seorang penduduk prihatin yang hanya ingin dikenali sebagai Din, 38 tahun, berkata setiap rumah sebanyak kira-kira 200 buah di kampung itu mendapat bekalan air melalui paip besar dari loji penapisan air Telibong, Tamparuli.

Katanya, beliau telahpun membuat aduan beberapa kali kepada Juruteknik Jabatan Air di daerah tersebut dan telah dijanjikan penyambungan semula bekalan air pada Isnin namun, sehingga petang kelmarin masih belum ada air.

Juruteknik yang dikenalinya sebagai Abdullah Osman itu memaklumkan bahawa masalah yang berlanjutan tersebut dikatakan berpunca daripada projek pembaikan kebocoran paip di Kampung Lakang, Tamparuli menyebabkan kebanyakan kawasan termasuk Kampung Giling Laut juga terlibat.

“Sepatutnya jika mereka tahu bahawa masalah itu akan berlanjutan sehingga lima hari, perlu difikirkan inisiatif lain seperti penghantaran air melalui lori dari rumah ke rumah atau setidak-tidaknya mungkin sumber lain yang kami boleh pergi untuk mendapatkan air.

“Kami punya anak-anak kecil yang mahu ke sekolah, yang mahu makan dan minum, tetapi hal sedemikian nampaknya tidak difikirkan oleh pihak berkenaan, sehinggakan ramai penduduk kampung ini yang terpaksa menggunakan perahu untuk ke kampung berhampiran (Kampung Giling Tengah) semata-mata untuk mendapatkan sumber air,” jelas bapa kepada 3 anak itu.

Menurut Din, oleh kerana tidak ada perigi langsung di kampung itu, beliau terpaksa mengangkut air dari Taman Sri Rugading menggunakan gelen kosong untuk keperluan mandi anaknya yang bersekolah.

“Kalau untuk minum, kebanyakan kami terpaksa membeli air dari mesin menjual air yang terdapat mana-mana di kawasan pekan.

Lebih menyedihkan, isteri beliau yang baru bersalin sebulan lepas juga terpaksa melalui situasi sedemikian, selain beberapa keluarga lain yang turut mempunyai anak-anak kecil.

“Mungkin ada di antara penduduk termasuk saya sendiri ada menyimpan air dalam tong-tong air sebagai bekalan tetapi kalau sudah sampai lima hari, mana cukup untuk menampung keperluan harian sekeluarga apatah lagi mereka yang mempunyai jumlah ahli keluarga yang ramai,” keluh Din.

Katanya, beliau juga ada menghubungi Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Abdullah Sani dan memaklumkan permasalahan itu, dan pegawai itu berjanji untuk memaklumkannya kepada pihak Jabatan Air segera.

Justeru, beliau menggesa pihak Jabatan Air agar mempercepatkan penyambungan semula bekalan air di kawasan itu sebelum terjadi sebarang perkara yang tidak diingini.

Beliau turut menggesa para pemimpin tempatan termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Ketua Kampung agar memberi perhatian serius mengenai isu ketiadaan air di kampung itu untuk difikirkan cara penyelesaiannya pada masa-masa akan datang.(ST)

11 comments:

  1. jabatan air kena selesaikan masalah air yang dihadapi penduduk. pada masa bulan ramadan ni bekalan air bersih amat diperlukan.

    ReplyDelete
  2. diharap masalah ni tidak berlarutan hingga menjelang hari raya.

    ReplyDelete
  3. Memang susahlah kalau sungai, air hujan pun tiada.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Water is a basic necessity for humans and all living things. Life is difficult without sufficient water supply.

      Delete
  4. Masalah air ni yang paling susah, harap masalah penduduk akan segera di selesaikan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. The Water Department should pay more attention to the local people's complaints and take necessary actions.

      Delete
  5. Hope that the Kampung Giling Laut water woes issue can be resolved by the Water Department as soon as possible.

    ReplyDelete
  6. Kesian juga sumber air tidak ada selama 5 hari berturut-turut.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ketiadaan air pasti menyusahkan penduduk

      Delete
  7. Sebaiknya berikan notis masalah dan penyelesaian sementara.

    ReplyDelete
  8. Masalah air di seluruh Sabah perlu ditangani

    ReplyDelete