Saudara Pengarang,
KEJAYAAN demi kejayaan dicapai oleh Unit D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Bukit Aman dalam setiap serbuan yang dijalankan tanpa dapat dihidu oleh penjenayah yang menggunakan Ibu Pejabat Polis Kontingen Sabah sebagai ‘Suaka’ melindungi jenayah mereka.
Kehadiran puluhan ribu GRO China, Filipina, Indonesia, Thailand dan Russia di Sabah sejak akhir-akhir ini menimbulkan kebimbangan kami yang tinggal di sekitar Beverly Hills dan beberapa kondominium di sekitar Likas dan Inanam.
Mereka ini menjalankan kegiatan maksiat dan turut menjadi agen perjudian serta pelacuran wanita muda daripada Negara asal mereka sehingga kami merasakan suami kami tidak selamat untuk keluar rumah.
Apakah Unit D7 buat untuk membanteras gejala tidak sihat ini? Kenapa mereka gagal setiap kali melakukan serbuan terutama di King Karaoke di Asia City yang kini menjadi pusat tumpuan setelah Kim Bee dan Strawberry diserbu secara ‘olok-olok’ oleh D7 Sabah?
Kenapa tidak ada operasi besar-besar menggempur Beverlly Hill dan Bundusan Plaza yang bagaikan 'Las Vegas' dan 'Little Manila' di waktu malam? Siapakah yang membocorkan rahsia dan menjadi talibarut penjenayah seks ini jika bukan anggota polis sendiri yang sering dilihat bersama ‘Bapa Ayam, Tauke Judi dan Rumah Urut?’
Sehubungan itu, kami menggesa agar Ketua Polis Negara menghantar Unit Khas D7 Bukit Aman untuk menggempur pusat maksiat di Sabah yang selama ini menjadi syurga lelaki berhidung belang menjadikan kami tidak dapat tidur lena.
Salam Hormat,
ISTERI SENGSARA
No comments:
Post a Comment