Wednesday, 5 January 2011

KEMELUT GSTT YANG TIDAK BERKESUDAHAN



Saudara Pengarang,

SEBAGAI salah seorang ‘Guru Sandaran Tidak Terlatih’ (GSTT) yang dijadikan ‘Gurkha’ oleh Kerajaan Persekutuan untuk diarahkan bertugas di kawasan yang tidak mahu dimasuki Guru Terlatih daripada Semenanjung Malaysia, saya agak gembira apabila pada 3 Disember 2010, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mohd Fuad Zarkashi memberi jaminan bahawa semua GSTT akan disambung atau diserap melalui program KDC atau KPLI.

Melalui siaran akhbar Berita Harian pada 3 Disember berkenaan, Fuad berkata bahawa Kementerian Pelajaran tidak akan memberhentikan sebahagian daripada 12,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara yang bakal tamat kontrak tahun 2010 bagi memastikan kekurangan tenaga pengajar di sekolah dapat diatasi dan pendidikan pelajar juga tidak akan terganggu.

Kata Fuad, bagi guru GSTT tamat tempoh perkhidmatan tahun ini mereka tidak diberhentikan, malah bagi mereka yang sudah menerima surat diberhentikan perkhidmatan, ia akan ditarik balik.

Walaupun kami kecewa kerana Kementerian Pelajaran sudah membuat keputusan tidak membenarkan JPN melatih guru GSTT, sebaliknya akan diselaraskan dengan lebih sistematik, namun penyambungan kontrak kami sudah memberikan nafas lega daripada terus menganggur.

Namun program latihan GSTT bagi yang sudah lama bertugas diserap ke jawatan tetap secara berperingkat melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) atau Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) berdasarkan tempoh pengalaman bertugas sebagai guru GSTT amat memeningkan kepala kami.

Kami hanyalah ‘Gurkha’ sementara yang belum tentu masa hadapan dipaksa menyertai KDC dan KPLI sedangkan kami berkhidmat secara kontrak yang entah esok atau lusa ditamatkan kontrak apabila jumlah guru mencukupi.

Walau bagaimanapun hingga ke hari ini, kami masih menunggu ‘khabar dari gunung’ kerana tidak ada sebarang panggilan atau hitam putih diterima sekalipun sesi persekolahan sudah bermula 3 Januari lalu. Sampai bila kami harus menunggu?

Salam Hormat,

GSTT Sabah

No comments:

Post a Comment