LAWAT... Ketua Polis Daerah Lahad Datu dengan rombongannya melawat Kg Panji berlatar belakangkan salah sebuah kedai yang didirikan secara wewenang. Kawasan ini tidak selamat kerana polis pun takut mahu masuk jika waktu malam.
Saudara Pengarang,
SAYA selalu mengikuti perkembangan laman web Sabahkini.net dan berpendapat laman ini laman yang adil; tidak memihak kepada parti kerajaan mahupun pembangkang. Masalah dan rungutan rakyat yang patut kita utamakan. Setinggi tahniah buat krew sabahkini.net.
Di sini, saya ingin meluahkan sedikit kekecewaan akan pentadbiran Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD). Bagaimana mereka boleh menutup mata dengan kedai-kedai haram di kawasan perumahan di jalan kampung Panji?
Krew Sabahkini boleh datang meninjau sendiri. Para peniaga ini terdiri daripada PATI dan Warga Pakistan yang menjual barang keperluan pada harga yang keterlaluan. Saya sendiri telah membuat aduan ke MDLD, tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Persoalannya, bagaimana permit premis atau lesen berniaga mereka diluluskan? Malahan ada kedai yang dibina betul-betul di bawah tiang lampu dan telefon? Tidakkan ini menghairankan? Bukankah tindakan ini membahayakan nyawa? Saya harap krew sabahkini.net dapat datang sendiri membuat tinjauan.
Layaknya Lahad Datu ini di panggil bandar ‘KOBOI’ kerana sesuka hati membuka kedai. Asal ada wang untuk merasuah MDLD semua boleh jadi kerana mereka akan tutup mata sampai bila-bila selagi wang perlindungan terus dihulur.
Namun amat malang bagi warga tempatan yang ingin berniaga kerana terpaksa menunggu selama berbulan-bulan, namun masih juga sukar mendapat kelulusan. Mungkin inilah agaknya terjemahan konsep 1MALAYSIA yang diamalkan MDLD?.
Salam Hormat,
INSAN PRIHATIN
No comments:
Post a Comment