Oleh: MEDIA SAPP
SAPP Cawangan Grace Court mengambil berat tentang aduan penduduk tempatan Grace Court, Grace Ville dan Sempelang, di Sembulan, Kota Kinabalu berkenaan dengan projek perparitan yang hingga ke hari ini tidak siap-siap.
Pengerusi SAPP Cawangan Grace Court, Bahari Aship yang ditemui penduduk di sini memberitahu, bahawa keadaan projek yang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik amat mendukacitakan.
Rimbunan pokok pokok tua yang cantik melindungi kawasan tersebut telah ditebang dan dilonggokkan di dalam parit yang baru siap separuh jalan dan menjolok mata memandang. Situasi buruk ini sudah pun mengakibatkan banjir kilat di musim tengkujuh ini, selain akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Bahari menyatakan, penduduk yang tinggal berhampiran parit yang tidak siap itu mengadu mengapa parit itu tidak disiapkan sepenuhnya setelah dihentikan pada November 2010 dan sehingga hari ini sampah sarap yang menimbuni parit itu pun tidak dibersihkan?
“Siapakah yang bertanggungjawab terhadap perkara buruk ini? Wakil Rakyat Tanjung Aru atau pihak DBKK? Berapa banyak kos projek dibayar kepada kontraktor untuk kerja-kerja yang tidak siap?." Demikian antara pertanyaan yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk di sekitar Grace Court, Sembulan.
Bahari heran kenapa Wakil Rakyat N.17 Tanjung Aru, Datuk Edward Yong, yang sudah tiga penggal mewakili kawasan tersebut tidak suka turun padang untuk memantau masalah dan kesusahan rakyat dengan tidak mengendahkan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat kepada beliau.
No comments:
Post a Comment