Oleh: MOHAMMAD QAYYUM A.B
SEBUAH kisah benar yang penuh tragis dan menyayat hati. Abang mereka hanya menonton adik perempuan mereka dicabul kehormatannya di hadapan mata kepala mereka sendiri.
Pada suatu hari yang nyaman, dengan tiupan angin segar pantai, sebuah keluarga besar telah pergi berkelah di tepi pantai. Keluarga ini merupakan keluarga yang kaya raya dan kukuh ekonomi mereka. Ada taukeh balak, ada taukeh minyak, ada taukeh minyak sawit, ada taukeh ladang sawit dan getah, ada taukeh kuari, ada taukeh kontrak, ada taukeh bank dan sebagainya. Namun tidak mungkin dalam satu bakul buah itu semuanya elok, pasti ada juga yang busuk.
Sebenarnya kehidupan adik beradik ini mula goyah selepas bapa mereka dibunuh secara kejam di Borneo Utara. Kehidupan mereka mula bertelagah sesama sendiri. Bagi abang-abang yang kaya, mereka melupakan adik-adik mereka yang miskin. Bagi adik-adik yang mula belajar hidup berdikari, maka berusahalah mereka membantu adik-adik yang miskin ini semampunya sambil menempelak abang-abang mereka yang mula lupa diri.
Suatu hari, semasa keluarga ini seronok berkelah, seorang adik perempuan mereka telah diculik dan telah dicabul dengan kejam di hadapan khemah abang-abang yang kaya raya ini.
Pencabulan si adik dilakukan oleh sekumpulan pendatang haram yang suka membuat kacau terhadap kehidupan orang lain. Adik-adik yang lemah hanya mampu memandang dengan kesayuan, tetapi si abang-abang pula melihat dengan keseronokan adik perempuan mereka dicabul kehormatannya di hadapan khemah mereka sendiri.
Tidak lama selepas itu, salah seorang adik lelaki mereka pula telah dihanyut ombak. Salah seorang daripada mereka cuba menyelamatkan si adik yang hampir lemas itu tetapi dihalang oleh abang atas alasan, marilah bawak berbincang dahulu. Jangan terburu-buru kerana ombak besar itu berbahaya.
Akhirnya, saat adik perempuan mereka dicabul dengan penuh nafsu oleh sekumpulan pendatang haram itu dan adik lelaki pula hampir kelemasan dibawa arus ke tengah lautan; mereka telah duduk berbincang sambil menikmati makanan yang mewah dan minuman yang lazat.
Kata abang sulung yang paling kaya dan mempengerusikan persidangan itu, “tajuk persidangan kita ialah cara-cara menyelamatkan adik perempuan kita yang sedang dicabul untuk rogol dan adik lelaki yang hampir kelemasan.”
Adik-adik yang lebih muda dengan penuh semangat hendak terus bergelut dengan pendatang-pendatang haram tersebut tanpa menghiraukan keselamatan mereka semata-mata untuk menyelamatkan adik mereka daripada terus dicabul secara bergilir-gilir oleh kumpulan pendatang haram berkenaan; serta seorang lagi adik mereka yang tercungap-cungap menggapai tangan yang dibawa arus ke tengah lautan.
Tetapi dengan pantas salah seorang abang berkata, “Inilah orang muda, suka sangat ikut perasaan. Cuba hormat sedikit orang tua. Kita ambil jalan yang lebih berdiplomasi.”
Akhirnya abang-abang yang kaya raya berjumpa dengan Ketua Pendatang Haram berkenaan seraya berkata, ”Ini resolusi kami. Jangan rogol adik kami lagi. Kalau nak sangat tubuh adik kami pun, cuba hentikan cabul dan niat mahu rogol dulu. Kita buat Gencatan Nafsu.”
Maka merekapun berbincang, namun pencabulan terhadap adik perempuan itu masih berlaku sambil ditonton oleh adik beradik yang lain.
Dalam masa yang sama, seorang daripada mereka cuba mendapatkan bot penyelamat dan pelampung untuk menyelamatkan adik mereka yang sudah nyawa-nyawa ikan tetapi segera dihalang oleh abang-abang yang lain.
“Hoi… pengkhianat!” getus hati si adik yang tidak berpuas hati kerana bot penyelamat yang ada telah dibocorkan oleh abang-abang mereka.
Akhirnya, adik-adik berdarah muda telah diketepikan daripada korum perbincangan. Bagi si abang, adik berdarah muda merosakkan keadaan sahaja. Adik-adik muda dikenakan hukuman menurut ‘Akta Ikut Suka Aku’; dikembiri dan dirosakkan khemah mereka dan pelbagai hukuman yang zalim. Manakala adik-adik perempuan muda pula digertak dan ditakut-takutkan akan hilang keperawanan dan kehormatan mereka.
Keadaan semakin genting. Adik-beradik tadi melakukan mesyuarat tergempar sekali lagi. Kali ini mereka agak sepakat membuat resolusi iaitu, “Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pendatang haram mencabul kehormatan adik perempuan kami. Selamatkan adik kami yang kelemasan.”
Tetapi mereka hanya memasang sepanduk di sepanjang pantai tersebut dengan harapan ada orang yang akan membantu mereka. Adik perempuan mereka terus dicabul dan pakaian adik perempuan mereka sudah habis direnggut sehingga bertelanjang bulat. Adik beradik tadi hanya menonton drama cabul mencabul dari dekat setelah mengadakan mesyuarat tergempar tadi.
Adik lelaki mereka yang tergapai di tengah lautan sudah hampir nazak kerana kelemasan di tengah lautan, hanya menunggu malaikat muat datang menjalankan tugas. Lalu diangkat lagi sepanduk baru, “Selamatkanlah adik kami yang kelemasan” setinggi-tingginya dengan harapan ada orang lain yang akan datang membantu.
Bila melihat sepanduk itu tidak berkesan, mereka bermesyuarat lagi dan mengeluarkan sepanduk baru yang lebih cantik dan mahal. Adik perempuan mereka sudah mula dirogol secara bergilir-gilir oleh kumpulan pendatang haram dan adik lelaki sudah ditelan gelombang. Adik beradik lain pula terus bermesyuarat dan mesyuarat untuk menghasilkan sepanduk dengan susunan ayat yang lebih menarik.
Inilah kisah tragis keluarga besar di Borneo Utara.
Ketahuilah bahawa Adik Perempuan itu bernama Sabah;
Adik Lelaki yang lemas itu bernama Sarawak;
Abang-abang itu Raja-raja Melayu dan Yang Di Pertuan Negeri;
Adik-adik yang senyap itu Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, pihak berkuasa serta ahli parlimen dan adun-adun yang tidak berani buka mulut;
Adik beradik yang berdarah muda itu pemimpin NGO dan pemimpin politik pembangkang;
Pendatang haram pula pendatang asing tanpa izin yang mendapat kerakyatan songsang dengan izin pemimpin yang menjadi ‘petualang’ Negara.
Bapa yang mati dibunuh itu ’20 Perkara’ yang menunjang demokrasi, keadilan dan Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat itu pula ialah Mesyuarat Dewan Undangan Negeri, Dewan Negara dan Dewan Parlimen.
No comments:
Post a Comment