Oleh : K FERIDE HIKMET ATAK
KUALA LUMPUR: Vokalis
kumpulan Wings iaitu Awie meluahkan rasa sedih terhadap segelintir masyarakat
yang memandang serong terhadapnya selain mengaitkan dia dengan 'gengsterisme'.
Bagaimanapun, Awie atau nama
sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, sebagai seorang penyanyi yang dikenali,
dia terpaksa menerima pandangan negatif tersebut dengan tangan terbuka kerana
percaya Allah lebih tahu kebenarannya.
"Sejak masuk dalam
industri hiburan lagi, saya sering dipandang serong oleh segelintir pihak
lebih-lebih lagi apabila melibatkan hal gengsterisme.
"Memang sudah lekat di
fikiran orang, apabila ada berita artis bergaduh ia semestinya melibatkan saya.
"Agak sedih dengan
tanggapan begitu, tetapi nak buat macam mana? Walaupun saya cuba mempertahankan
diri daripada sekumpulan gengster, saya tetap dilihat sebagai punca sesebuah
pergaduhan itu berlaku," katanya.
Tambah Awie, sepanjang
hampir 30 tahun bergelar penyanyi, sebanyak lima kali dia dibuli oleh
sekumpulan gengster yang tidak berpuas hati dengannya.
"Apabila berada di
sebuah tempat yang kita tahu ramai kumpulan gengster, perlukah saya mencari
gaduh? Itu namanya cari bahaya.
"Lima kali saya dibuli
dan setiap kali diganggu, pasti saya akan pertahankan diri. Namun, masyarakat
pula menganggap saya ini kaki pukul," ujarnya.
Ditanya adakah penyakit
gangguan makhluk halus yang dialaminya sebelum ini ada kaitan dengan isu
pergaduhan yang pernah berlaku padanya, Awie enggan mengambil tahu tentang
perkara tersebut.
Beritahu Awie, sepanjang
setahun lebih menjalani perubatan secara tradisional, dia tidak pernah meminta
bantuan bomoh untuk melihat siapa yang cuba menganiayanya dengan cara syirik
itu.
"Rasanya, sepanjang
hidup ini saya tidak pernah berlaku nakal atau cuba menganiaya orang. Melainkan
saya pertahankan diri daripada dianiaya, itu benar.
"Tak tahulah kalau
penyakit misteri saya ini adalah angkara orang yang tak puas hati dengan saya.
Cuma andai kata benar ada yang berkecil hati, maafkan saya, kerana saya seorang
manusia biasa yang sering melakukan kesalahan," ujarnya.
Bagaimanapun, Awie mengambil
perkara yang telah berlaku padanya itu secara positif dengan menganggap ia
mungkin satu penebusan dosa-dosa masa lampau yang mungkin tidak disedarinya.
"Apa yang saya lihat,
bermula dengan isu gengsterisme, kemudian terpaksa berada di bawah pemantauan
polis selama dua tahun akibat bergaduh dengan pegawai polis.
“Seterusnya diikuti pula
dengan penyakit misteri yang dialami, saya anggap ia sebahagian daripada
perjalanan kehidupan.
"Ia adalah penebusan
dosa-dosa saya. Alhamdulillah, kini saya bebas daripada penyakit misteri
itu," katanya. (MStar)
No comments:
Post a Comment