PEMBERIAN imbuhan sempena
Aidilfitri kepada penjawat awam adalah bergantung kepada kemampuan kerajaan,
kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dengan wajah yang ceria,
Najib berkata beliau akan melihat 'buku kira-kira' kerajaan terlebih dahulu
berhubung perkara itu.
"Nantilah kita
semak-semak dahulu, belek-belek dahulu, kena tengok-tengok buku kira-kira
dahulu...kalau apa-apa pun kita semak dahulu, apa-apa keputusan mesti
berdasarkan kepada kemampuan kerajaan," katanya kepada pemberita di Pekan,
hari ini.
Beliau berkata demikian
ketika diminta mengulas tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai pemberian imbuhan itu baru-baru ini.
Pada 16 Julai, Presiden
Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik
bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan itu dan tidak
menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan seperti menaikkan harga
barangan.
Najib ditemui selepas majlis
penyampaian sumbangan cek Durian Runtuh Felda Fasa 2 dan pakaian kepada
Pegawai-pegawai Masjid serta sumbangan Apron kepada peniaga dan bantuan cermin
mata kepada penduduk Pekan di Dewan Umno Pekan, di Pekan.
Dalam ucapannya beliau
menegaskan agar pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan tidak menghalang
usaha kerajaan dalam memajukan negara.
Mengambil contoh
penyenaraian saham Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia,
beliau berkata, pihak yang cuba menghalang disifatkan sebagai busuk hati kerana
tidak suka melihat kerajaan membantu meningkatkan kehidupan rakyat.
"Jangan halang usaha
kerajaan untuk majukan negara dan rakyat, tidak sokong tidak apa...dalam hal
ini (penyenaraian FGVH) kita tak boleh halang sebab ini adalah hal yang baik
dan untuk kebaikan rakyat," katanya.
Bercakap kepada pemberita
kemudian Najib berkata jika peneroka ingin membeli tambahan saham, mereka perlu
membelinya di pasaran saham terbuka.
"Pihak Felda perlu
membantu peneroka untuk membelinya di pasaran terbuka dengan harga semasa.
Walaupun peneroka telah ditawarkan dengan 800 unit saham ketika saham tersebut
dilancarkan mereka juga tetap dapat keuntungan kerana 20 peratus saham FGVH
telah dimasukkan ke dalam tabung amanah yang akan membayar dividen setiap tahun
kepada mereka," katanya.
Ditanya mengenai laporan
akhbar berhubung senarai awal calon BN yang ditolak 50 peratus daripadanya,
Najib berkata:
"Kita belum
memuktamadkan calon-calonnya dan kita akan memutuskannya apabila tiba masanya, jadi
semuanya hanya spekulasi. Umno pun belum, kita tengah semak-semak dan belek-belek
lagi," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment