KUCHING: Mayat Henry Loh,
mangsa ketiga kejadian helikopter terhempas di Sungai Triso dekat Sebuyau
dijumpai terapung di laut dekat Pulau Triso kira-kira pada jam 7.40 pagi tadi.
Mayat yang lengkap
berpakaian dan tanpa jaket keselamatan itu dijumpai oleh penambang di lokasi
kira-kira setengah jam perjalanan bot dari pekan Sebuyau. Penemuan itu terus
dimaklumkan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat.
Pesuruhjaya Polis Sarawak
Datuk Acryl Sani Abdullah Sani yang mengesahkan penemuan itu berkata mayat
mangsa terakhir nahas helikopter milik Sebiro Holdings itu disahkan oleh
saudara mangsa.
“Gerakan mencari dan
menyelamat dihentikan,” katanya.
Difahamkan mayat mangsa
dibawa terus ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk bedah siasat.
Semalam dua mayat mangsa
helikopter yang sama dijumpai pada masa dan tempat berasingan.
Mayat Siti Khuzaimah Anwar
ditemui kira-kira pada jam 11 pagi ditemui terapung di kawasan perairan dekat
Maludam.
Manakala mayat Peter Ato
Mayau dijumpai terapung di perairan berhampiran Kampung Tebelu, Sebuyau
kira-kira pada jam 2 petang.
Insiden helikopter jenis
Eurocopter EC 120 itu berlaku pada pagi Jumaat ketika ia mengangkut tiga mangsa
terbabit dari Kuching ke Nanga Merit, Kapit atas urusan kerja.
Juruterbang warga Jerman
Rico Steger terselamat dalam nahas tersebut selepas berenang empat jam sebelum
sampai ke Tebelu, Sebuyau. (UB)
No comments:
Post a Comment