PEKAN : Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan mereka yang menghalang penyenaraian
saham Felda Global Venture Holdings (FGVH) ke Bursa Saham tetapi turut
mengambil durian runtuh hasil penyenaraian itu sebagai 'muka tak malu'.
Sambil menyindir golongan
itu, beliau berkata sebilangan peneroka Felda yang turut menolak hasrat murni
itu juga adalah pengkhianat kerana cuba menghalang niat kerajaan yang mahu
mentransformasi serta memartabatkan Felda di peringkat global.
"Mereka cuba
mengkhianati hasrat kita untuk membela masyarakat Felda. Cuba halang tapi bila
kita hulur, dia tidak malu-malu menerpa ke hadapan untuk terima durian runtuh,
ini termasuklah yang membuat injunksi, tak malu dan tak tersipu-sipu datang
ambil," katanya.
Beliau berkata demikian
ketika berucap pada pelancaran Mini MAHA Pekan 2012 di hadapan kira-kira 10,000
peneroka di Dataran Shahbandar, Bandar Dara, Chini di sini Jumaat.
Turut hadir, isteri beliau,
Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri
Noh Omar dan timbalan, Datuk Chua Tee Yong.
Najib memuji golongan
peneroka yang hadir pada majlis itu dan menyifatkan mereka sebagai pembela dan
pejuang yang meletakkan Felda di mercu kejayaan.
Katanya transformasi sedang
dan akan terus berlaku kepada komuniti Felda dengan penyenaraian FGVH di Bursa
Saham baru-baru ini.
"Siapa dapat bayangkan
FGVH apabila disenaraikan mencatat sejarah dunia, bukan di Chini kerana kini ia
menjadi tawaran awam permulaan (IPO) yang kedua terbesar di dunia selepas saham
Facebook," katanya.
Najib juga pada majlis itu
turut mengumumkan bahawa pemberian durian runtuh kepada isteri peneroka
berjumlah RM5,000 seorang akan dibayar mulai esok sempena sambutan Hari
Peneroka. (Bernama)
No comments:
Post a Comment