Oleh : ABU BAKAR ESAH
BEAUFORT: Ibu bapa diingatkan
bahawa pendidikan bukanlah konsep perbelanjaan wang hangus tetapi adalah
pelaburan masa depan untuk keluarga, bangsa, agama dan negara.
Menteri Pembangunan
Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun berkata Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan dua konsep yang perlu disemai
pada diri ibu bapa iaitu ‘anak sebagai amanah’ dan ‘pendidikan sebagai
pelaburan masa depan’.
“Anak-anak yang dilahirkan
bukan sekadar rezeki daripada Allah semata-mata, tetapi juga merupakan amanah
yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa. Mendidik anak-anak dengan belaian
kasih sayang dengan perhatian dari segi pembentukan otak, sahsiah, akhlak,
perilaku dan segalanya merupakan satu amanah yang tidak boleh diabaikan,”
katanya pada masjlis perasmian Seminar Motivasi Keibubapaan dan Peperiksaaan
SPM Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Beaufort di Dewan Pa’ Musa di sini,
kelmarin.
Teks ucapan beliau di sampaikan
oleh Setiausaha Politiknya, Jornah Mihizim. Seminar itu dianjurkan oleh Pejabat
Pelajaran Daerah Beaufort bersama
Kumpulan Yayasan Sabah'
Azizah yang juga Ahli dewan
Undangan Negeri (Adun) Klias itu berkata, keluarga memainkan peranan dan
tanggungjawab yang sangat penting untuk dipikul demi merealisasikan hasrat
negara melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dalam pelbagai aspek.
“Kejayaan anak dalam
pelajaran dan seterusnya dalam hidup bukanlah diperoleh dengan mudah,
sebaliknya dicapai melalui kegigihan, komitmen dan pengorbanan yang besar
daripada semua pihak. Ini termasuklah para ibu bapa, warga pendidik, kerajaan
dan masyarakat keseluruhannya yang terus komited dalam menjana kejayaan demi
kejayaan kepada generasi pelajar kita.
Azizah mengingatkan agar ibu
bapa menunjukkan teladan yang baik terhadap anak-anak kerana segala perbuatan
dan tingkah laku ibu bapa pasti akan mempengaruhi anak-anak mereka.
“Di mana tumpahnya kuah
kalau bukan ke nasi?’ Ini merupakan peribahasa yang relevan dengan isu ini.
Justeru, ibu bapa perlu bersikap optimistik tidak kira dalam apa-apa keadaan
demi memastikan anak-anak sentiasa berada di landasan yang betul dan seterusnya
melahirkan anak yang sentiasa bersikap positif."
Selain itu katanya, ibu bapa
perlu mewujudkan suasana yang harmoni dalam keluarga bagi menghindarkan
anak-anak daripada terjebak dengan gejala negatif.
“Apabila suasana harmoni
dapat diwujudkan ikatan silaturahim antara keluarga akan lebih utuh. Hal ini
seterusnya dapat mengelakkan gangguan emosi dalam kalangan anak-anak sekali gus
membendung anak-anak daripada tergelincir dari landasan yang benar,” katanya
No comments:
Post a Comment