Oleh : PROF MADYA DR MOHD
ASRI ZAINUL ABIDIN
SEKARANG saya berada dalam
bulan terakhir di United Kingdom (UK) ini. Tempoh zamilah saya akan berakhir
dalam bulan Ogos ini. Saya merancang untuk pulang pada awal Ogos.
Jadi Insya-Allah, saya akan
sempat menjalani separuh Ramadan sini. Ini merupakan pengalaman pertama saya
berpuasa Ramadan di UK.
Waktu berpuasa dalam musim
panas ini agak panjang. Subuh bermula pada jam 3 pagi dan Maghrib pula pada jam
9.15 malam. Hanya enam jam ruang yang ada. Waktu malam begitu pendek. Jika
dicampur segala aktiviti: iftar, solat Maghrib, Isyak, tarawih dan sahur tentu
amat sedikit ruangannya.
Ditambah lagi dengan masa
untuk membaca al-Quran dan ibadah yang lain, maka tentu lebih sempit ruangan
masanya. Namun masa itu bersifat relatif. Jika Allah memberkati, waktu yang
pendek mempunyai ruang yang luas dan amat bermanfaat.
Jika Dia tidak memberkati,
waktu yang banyak menjadi sempit dan terbatas. Maka, ada manusia yang panjang
umur, tiada hasil yang dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ada yang pendek
umurnya, tetapi mempunyai hasil kerja yang bermanfaat yang banyak.
Pada zahirnya tentulah di
Malaysia lebih beruntung kerana ruang ibadah malam itu lebih banyak. Kita
mempunyai lebih sepuluh jam waktu malam. Pun begitu, tidaklah semuanya dapat
dimanfaatkan dengan baik oleh setiap orang.
Bahkan mungkin ada yang
waktu yang disia-siakan. Ini mengingatkan kita kepada hadis Nabi SAW:
"Dua nikmat yang ramai
orang terpedaya; kesihatan dan waktu lapang." (Riwayat al-Bukhari).
Amalan
bersejarah
Ramadan menjelang, kita
berpuasa. Puasa bukanlah ibadah baru yang bermula sejak kedatangan Nabi
Muhammad SAW. Puasa telah wujud sejak zaman berzaman lagi sebelum Nabi Muhammad
SAW dibangkitkan sebagai rasul.
Justeru itu Allah menyebut
(maksudnya): "Wahai mereka yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu puasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu,
mudah-mudahan kamu bertakwa". (Surah al-Baqarah 183).
Ayat ini mengingatkan kita
bahawa ibadah ini bukan ibadah baru. Ia satu ibadah yang telah diamalkan dalam
syariat nabi-nabi sebelum kita. Mereka sebelum kita telah berpuasa bagi
mematuhi arahan Allah.
Ini memberikan kita
kesedaran, betapa adanya hubung kait antara agama-agama yang dianuti oleh
manusia. Islam mengiktiraf itu semua.
Jika Allah mahu, boleh
sahaja Allah hanya menyebut "diwajibkan kepada kamu puasa", tanpa
disebut "seperti mana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu".
Namun dengan hikmah yang
besar Allah mengingatkan hubungan ini bagi mengingatkan kita sejarah agama.
Maka jangan hairan jika kita dapati beberapa persamaan dalam amalan agama
antara Yahudi, Kristian dan Islam.
Hanya orang yang tidak
memahami al-Quran, sunah dan sejarah agama sahaja yang menafikan kewujudan
persamaan. Mereka inilah yang cuba menjadi isu-isu seperti berkongsi panggilan
Allah, panggilan nabi dan nama-nama tertentu sebagai isu permusuhan dalam
agama. Mereka lupa sejarah yang disebutkan oleh al-Quran di atas.
Persamaan
Al-Quran dan sunah
menjadikan isu persamaan ini sebagai penggerak yang membolehkan dakwah Islam
sampai ataupun lebih mudah difahami oleh mereka yang beragama Yahudi dan
Kristian.
Maka, layanan untuk mereka
lebih istimewa dalam Islam. Dalam surah al-Maidah ayat 5, Allah menghalalkan
Muslim memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka.
Walaupun ada mazhab yang
menyempitkan tafsiran bahawa itu merujuk kepada Ahli Kitab keturunan tertentu
sahaja, namun majoriti ulama berpendapat ia merangkumi semua Yahudi dan
Kristian.
Sudah pasti di sana ada
ikatan dan syarat tertentu. Apapun, tujuannya untuk mendekatkan mereka dengan
dakwah Islam yang mempunyai kesinambungan dari ajaran para nabi sebelum ini.
Disebabkan kelemahan sikap
sesetengah umat Islam, nampaknya orang Kristian lebih menggunakan persamaan ini
untuk berkempen dakwah mereka dibandingkan orang Muslim.
Lebih teruk lagi, ada orang
Muslim yang menggunakan isu persamaan ini untuk menghidupkan suasana tegang dan
modal politik. Sepatutnya seperti mana al-Quran dan sunah mengajar Muslim, isu
persamaan digunakan untuk membawa dan menyampaikan mesej Islam kepada mereka.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Para nabi itu saudara dari keluarga yang berbeza. Ibu mereka ramai namun
agama mereka satu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis al-Bukhari,
apabila Nabi SAW berada di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa
pada hari Asyura (hari ke sepuluh Muharram). Baginda bertanya kenapa mereka
berpuasa.
Mereka menyatakan kerana
sejarah perjuangan Nabi Musa AS. Mendengar alasan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w
bersabda: "Daku ini lebih berhak untuk menghormati Musa dibandingkan
mereka" lalu baginda berpuasa dan mengajak umat Islam berpuasa.
Ruang
Pendekatan al-Quran dan
sunah adalah mengambil ruang persamaan untuk membawa dan memahamkan penganut
agama lain tentang peranan Islam sebagai agama yang terakhir. Mengingatkan
bahawa semua nabi itu atas ajaran Allah yang satu.
Mereka hakikat membawa
akidah Islam yang sama, walaupun syariat ataupun peraturan hukum antara mereka
ada beberapa perbezaan. Namun banyak juga yang sama. Kesan-kesan persamaan itu
terus diwarisi dan tidak boleh dinafikan.
Bahkan ada masanya al-Quran
memuji agama Kristian dan sikap sesetengah rahib mereka.
Firman Allah (maksudnya):
"...demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat
sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang
berkata: 'Bahawa kami ini orang-orang Nasrani'. Yang demikian itu, disebabkan
antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula
tidak sombong." (Surah al-Maidah: 82).
Islam mengajak kita
mengambil ruang untuk meredakan ketegangan dan memudahkan perbincangan.
Sementara sesetengah pihak
sama ada Kristian ataupun Muslim, cuba menjadikan persamaan yang ada sebagai
titik permusuhan dan ketegangan. Kita patut kembali kepada pendekatan al-Quran
dan sunah.
(NOTA
: Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bekas Mufti Perlis dan kini zamil
di Universiti Oxford. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak
semestinya melambangkan pendirian rasmi Sabahkini.net)
No comments:
Post a Comment