KUALA LUMPUR : Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata langkah mengadakan undang-undang untuk menjadikan
pemberian nafkah kepada ibu bapa satu keperluan mungkin akan mengeruhkan ikatan
kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak.
Oleh itu, kata Perdana
Menteri, kerajaan mengutamakan program kesedaran untuk memupuk serta menyubur
rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda terhadap keluarga ke arah
memantapkan institusi keluarga. Katanya sebanyak 8,282 program seperti itu dilaksanakan
sejak 2006 hingga Ogos lepas bagi melahirkan rasa tanggungjawab anak-anak
supaya menghormati dan menghargai pengorbanan ibu bapa.
"Maka terlahirlah rasa
keinsafan untuk menunaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa dan tidak
mengabaikan mereka," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal
Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat sama ada kerajaan bersedia mengadakan
undang-undang seumpama itu sebagai satu keperluan seperti di Singapura.
Najib yang juga Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata keperluan untuk mewujudkan
undang-undang seumpama itu perlu diteliti dari pelbagai sudut terutama
kemampuan kewangan seseorang individu.
"Undang-undang seumpama
ini mungkin mengeruhkan ikatan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak. Apa
yang penting adalah pelaksanaan usaha-usaha kesedaran melalui program
pendidikan kekeluargaan yang perlu diperluas dan diberi penekanan terutama
kepada generasi muda," katanya.
Katanya seramai 898,807
peserta terlibat dalam program kekeluargaan itu anjuran Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Najib berkata bermula
November ini, sambutan hari Keluarga Kebangsaan yang diadakan pada 11 Nov
setiap tahun akan diperluas kepada konsep Sambutan Bulan Keluarga selama
sebulan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment