Wednesday 4 January 2012

BINGKOR PERLUKAN ‘WINNABLE CANDIDATE’



Oleh : MARUTIN ANSIUNG

BARISAN Nasional (BN) masih releven di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Bingkor dan masih mampu menang pada pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun senario ini bergantung kepada calon yang akan diletak oleh pucuk pimpinan BN pada pilihan raya nanti.

Naib Presiden Persatuan Kujau Sabah, Duni Otob berkata, kalau calon yang diletakkan juara di hati rakyat dalam erti kata, sentiasa berdamping dengan rakyat atau pengundi di kawasan tersebut, sudah pasti calon berkenaan akan mendapat majoriti yang lebih besar.

“Bakal calon yang dimakudkan oleh rakyat di kawasan ini adalah anak kelahiran Bingkor yang dikenali oleh rakyat di sini tidak mengira dari mana parti komponen ia datang,” kata Duni kepada media, kelmarin.

Duni mendedahkan ramai muka baru yang berminat bertanding di kawasan ini menjelang PRU 13 akan datang.

“Tetapi tekankan kepada pucuk pimpinan supaya lebih teliti memilih dan meletakkan calon di kawasan ini,” tegas Duni yang mewakili rakyat di kawasan Bingkor.

Katanya, jangan letak calon dari luar yang bukan kelahiran kawasan Bingkor atau yang hanya timbul semasa pilihan raya.

Duni yang juga Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) kawasan Bingkor berkata, rakyat di kawasan ini mahu calon yang sentiasa berdamping dengan rakyat dan yang mudah ditemui pada bila-bila masa.

Dalam masa yang sama, Duni yang merupakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor memohon penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.33 Bingkor Datuk Justin Guka agar menunaikan janji dalam ucapan kempen PRU 12 2008 di balai raya Kg. Bingkor Baru.

Pada ketika itu kata Duni, Justin merayu kemenangan untuk kali terakhir dan tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Kami sifatkan ucapan Justin pada ketika itu memberi laluan kepada muka baru untuk bertanding di kawasan Bingkor,” kata Duni.

Tambahnya, memang rakyat di kawasan ini mahu muka baru pada pilihan raya akan datang asalkan orang itu anak kelahiran Bingkor kerana mahukan pembaharuan di kawasan ini.

No comments:

Post a Comment