Wednesday, 25 January 2012

ANWAR HANYA TABUR JANJI KOSONG



PELBAGAI janji yang ditabur oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat Sabah, termasuk menaikkan pemberian royalti minyak sehingga 20 peratus dianggap sebagai janji kosong yang sengaja digembar-gemburkan semata-mata untuk meraih sokongan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata sudah menjadi lumrah bagi parti pembangkang menabur pelbagai janji apatah lagi menjelang pilihan raya umum.

"Ini kerja pembangkang, mereka menjanjikan apa saja bulan dan bintang kerana mereka tahu mereka tidak memerintah dan mereka bukan kerajaan.

"Semua janji ini adalah janji palsu. Saya percaya rakyat Sabah tahu janji ini adalah janji yang tidak boleh ditepati," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Dewan Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, Selasa.

Musa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Anwar berhubung perkara itu pada majlis Rumah Terbuka PKR di Dewan Kian Kok, Likas, dekat sini semalam.

Beliau berharap rakyat Sabah tidak mudah terpedaya dengan janji manis parti pembangkang untuk meraih sokongan.

"Saya percaya rakyat kita tahu yang mana baik dan yang mana buruk. Mereka tahu kerajaan BN adalah pilihan yang terbaik kerana BN sentiasa mengotakan janji," katanya.

Sambil memberi contoh pemberian bantuan RM100 untuk pelajar sekolah, bantuan buku RM200 untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 bagi mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan; Musa berkata ini membuktikan kerajaan BN benar-benar mengotakan janjinya "tidak seperti parti pembangkang yang hanya pandai menabur janji kosong".

Mengenai sambutan Tahun Baru Cina, beliau berkata ia merupakan landasan terbaik untuk memantapkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai suku kaum.

"Amalan saling mengunjungi ke rumah-rumah terbuka adalah baik untuk menyemai semangat persaudaraan dan kekitaan dalam masyarakat majmuk seperti di negara kita termasuk di Sabah," katanya. (BERNAMA)

2 comments:

  1. Sabah berhak untuk mengkaji semula nilai pemberian royalti petroliam berdasarkan situasi semasa. Petronas sudah cukup maju dan berkembang, tidak seperti di awal penubuhan/operasi. Seiring dengan nilai untung yang diperolehi, amat wajar nilai royalti juga bertambah kerana antara bahan dagangan Petronas ialah petroliam yang berada di perut bumi Sabah.

    Kalau KM Musa Aman tidak mahu 20%, rakyat Sabah yang waras tentu mahu dan menyokong tawaran bersifat janji ini.

    KM Musa Aman dan kaum kerabat keturunannya sudah cukup kaya, tetapi rakyat Sabah dan generasi akan datang akan terus 'papa kedana' jika pemimpin sebegini terus-menerus dibiarkan memerintah.

    Ubah Sekarang, Selamatkan Sabah!

    ReplyDelete
  2. betul itu..sabah layak untuk membuat undian sendiri..kalau tahu parti sudah kuat..jangan risau..parti tidak akan kalah..tetapi kalau parti kalah..ertinya..ada sedikit masalah parti itu..sabah banyak memberi peningkatan pendapatan negara..petroleum..balak..padi..dan sebagainya..akan tetapi org sabah tidak dapat merasa akan kelebihannya..terutamanya barang..sabah dan sarawak diasingkan harganya..sedangkan minyak disabah ini sama rata harganya dengan semenanjung..adakah ini logik..getah berasingan harga..kelapa sawit juga begitu..sy sedikit kecewa akan pentadbiran sebegini..bukan tidak suka akan pemerintah..tetapi kecewa..tanah di sabah juga telah dimanipulasikan..rakyat ramai susah..bukan tidak mahu maju..cuma kemajuan itu hanya kepada kelompok tertentu sahaja..mahu juga sy tgk kepimpinan parti lain..UMNO rehat dahulu daripada memerintah sabah..macam satu sabah sdh hilang harta sabah..macam la..bukan menuduh..sy kerja round sabah..jd sy nampak ketepatannya..biarlah sabah untuk sabah..bukan umno..kerana umno perjuangan melayu semenanjung..kami bukan melayu..kami kadazan/dusun..sino..murut..rungus..kedayan dan banyak lagi..maaf..sy sedikit kecewa..sekiranya hati sakit membaca..minta maaf..mungkin anda sudah termakan sesuatu sehingga menjadi ahli yang setia..tetapi sedarlah..ramai belum makan..ramai org susah..suara ramai lagi kuat dari suara sekelompok..

    ReplyDelete