KEMENTERIAN Kesihatan akan membelanjakan sekitar RM4 bilion bagi meningkatkan kemudahan serta keberkesanan perkhidmatan kesihatan di Sabah tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini menunjukkan komitmen kerajaan Pusat yang tinggi bagi membela nasib rakyat Sabah, terutama dalam aspek kesihatan.
Sehubungan itu, beliau berkata kementerian akan menaik taraf 41 klinik kesihatan di seluruh negeri dengan kos melebihi RM20 juta serta menambah bilangan doktor di klinik berkenaan daripada 25 peratus kepada sekurang-kurangnya 50 peratus.
Selain itu , 10 lagi klinik 1Malaysia juga akan diwujudkan di Sabah tahun ini, katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Dewan Sekolah Tinggi Kota Kinabalu Selasa.
Liow juga berkata Kementerian Kesihatan akan menempatkan unit hemodialisis di Hospital Kudat, Kunak dan Kuala Penyu selain membesarkan unit itu di Tawau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata bangunan baru menara Hospital Ratu Elizabeth 1 dijangka siap hujung tahun ini.
"Penaiktarafan bangunan Hospital Ratu Elizabeth 11 (di Damai, Luyang) sudah siap manakala Hospital Likas, kita sedang bersungguh-sungguh untuk menyiapkannya," katanya.
Liow berkata dengan siapnya ketiga-tiga hospital itu, ia akan dapat memberi perkhidmatan lebih kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata kementerian juga akan memperluaskan perkhidmatan doktor udara di negeri ini, terutama di kawasan terpencil.
"Sebut harga (tender) untuk tujuan itu kini sedang dinilai oleh Kementerian Kewangan dan dalam masa terdekat, kita akan tahu siapa yang memperoleh tender itu," katanya. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment