Sunday 22 January 2012

HENTIKAN OPS PAYUNG DI KUNAK!



Saudara Pengarang,

KITA percaya OPS Payung yang dilancarkan Pesuruhjaya Polis Sabah sedikit masa lalu adalah salah satu mekanisme untuk mencegah dan mengurangkan kadar jenayah.

Tetapi modus operandi yang dijalankan di Kunak tidak menyumbang kepada tujuan sebenar OPS Payung diwujudkan, terutama memastikan polis berlaku adil dan menjadi tempat masyarakat mengadu.

Dalam kejadian kelmarin, saya meletakkan kereta saya di hadapan Maybank Kunak, tetapi beberapa orang anggota polis termasuk RELA melarang saya dengan mengatakan kawasan berkenaan tidak boleh letak kereta.

Tetapi dalam masa yang sama, sebuah kereta mewah berhenti dan diletakkan di tempat yang sama tetapi tidak dilarang anggota polis berkenaan; malah dibenarkan RELA yang bertugas.

Sebagai pembayar cukai untuk membiayai gaji polis dan rela, saya tanya kenapa kereta berkenaan boleh? Saya merakamkan gambar sehingga menimbulkan kemarahan mereka. Mereka mengeluarkan perkataan kesat dan mencabar saya kalau tidak puas hati, buat laporan ke balai.

Ketika saya mahu bergerak ke balai Polis Kunak untuk membuat laporan, seorang pegawai kanan polis menelefon saya memohon maaf kerana anggotanya tidak mengenali saya. Saya membatalkan niat untuk membuat laporan polis, sebaliknya menghantar surat terbuka kepada Pesuruhjaya Polis Sabah agar mengkaji semula fungsi Ops Payung kerana membazirkan wang rakyat dan menambah boroi perut polis yang bertugas.

Salam Hormat,

CITRA MASADI.

No comments:

Post a Comment