Wednesday 11 January 2012

PRESTASI KEWANGAN MPS SEMAKIN KUKUH



WATIKAH.....Datuk Hj Alipuddin KK Hj Puyon kelihatan sedang menandatangani Surat Watikah (Perlantikan) sebagai Ahli Majlis MPS di hadapan Presiden MPS.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

PRESIDEN Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir James Wong berkata MPS berjaya meningkatkan prestasi kedudukan kewangannya secara menyeluruh sepanjang tahun lepas.

Menurut beliau, indikator asas yang merujuk kepada peningkatan ini adalah melalui lebihan atau surplus bersepadu sebenar tahun 2010 sebanyak RM8.02 juta manakala lebihan pada 2011 sebanyak RM8.82 juta.

"Fakta positif ini menjelaskan bahawa kedudukan kewangan MPS bertambah kukuh," katanya dalam ucapan dasar sewaktu berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis dan Ahli Pemerhati Majlis Tahun 2012 di Dewan Persidangan MPS, di Sandakan, kelmarin.

Beliau berkata, pengukuhan tersebut juga boleh dilihat melalui perbandingan antara anggaran bersepadu Bajet 2011 dengan pencapaian sebenar MPS sepanjang tahun lepas di mana anggaran hasil MPS untuk 2011 adalah sebanyak RM48.55 juta, sementara anggaran perbelanjaan sejumlah RM47.01 juta.

Katanya, anggaran lebihan atau surplus adalah sebanyak RM1.51 juta dan hasil sebenar secara bersepadu dalam tahun yang sama adalah sebanyak RM52.56 juta atau RM4.01 juta melebihi anggaran.

"Sementara perbelanjaan sebenar adalah sebanyak RM43.74 juta atau RM3.27 juta kurang daripada anggaran dan lebihan atau surplus sebenar adalah sebanyak RM8.82 juta iaitu RM7.28 juta lebih tinggi daripada anggaran," jelasnya.

James berharap prestasi kewangan MPS bertambah kukuh pada tahun ini sekali gus menjadi anjakan paradigma terhadap prestasi kedudukan kewangan yang jauh melepasi zon selesa.

Tambah beliau, ia pasti berjaya melalui komitmen dan kerjasama daripada ahli-ahli Majlis dan Pemerhati khususnya kepada yang baru dilantik.

"Walaupun perlantikan semula hanyalah untuk tempoh enam bulan sahaja, tetapi dalam tempoh yang singkat ini saya berharap semua ahli-ahli Majlis dan Pemerhati dapat memberikan komitmen padu dan perkhidmatan yang terbaik kerana pihak Majlis amat memerlukan bantuan anda untuk sama-sama mentadbir daerah Sandakan dengan lebih cemerlang.

"Apa jua saranan atau cadangan untuk menambahbaik aspek kebersihan, keindahan, keselamatan dan penguatkuasaan amat dialu-alukan," katanya sambil menambah bahawa apa juga aduan atau kritikan yang pihaknya hadapi perlu ditangani dengan bijaksana demi keharmonian dan kesejahteraan bersama.

Beliau sering menekankan agar bertindak secara adil kepada semua pihak agar tidak timbul istilah pilih kasih dan sebagainya.

Dalam pada itu, katanya lagi, segala aduan disalurkan terus ke jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian yang bertanggungjawab di MPS.

"Jawatankuasa yang dibentuk diharapkan dapat menumpukan perhatian terhadap penggubalan dasar dan garis panduan berhubung pengurusan bandar Sandakan.

Pada tahun lepas, untuk memperkemaskan sistem pentadbiran MPS agar lebih sistematik, pihak Majlis telah memperkenalkan beberapa dasar dan garis panduan antaranya garis panduan perkhidmatan roll-on dan roll-off untuk membanteras pembuangan sisa binaan, garis panduan mengurus rumah dan lot persendirian terbiar, dasar pembaikan saluran paip kumbahan dan air hujan di bangunan bertingkat.

"Penguatkuasaan undang-undang kecil Anti Kutu Sampah seragam dan memperkenalkan kaedah baru sistem pelesenan yang lebih mudah khususnya yang melibatkan pembaharuan di mana hanya perlu pergi ke kaunter bayaran Majlis saja sekiranya tidak disenarai hitamkan," kata James.

Untuk kaedah yang terbaru pula kata James, pihak Majlis memperkenalkan garis panduan pelan pengubahsuaian dan tambahan ringan yang bertujuan memudahkan proses kelulusan pelan ubahsuai di mana pihak Majlis akan menyediakan template borang yang lebih ringkas dengan kadar caj yang lebih kompetitif malah lakaran pelan boleh dibuat sendiri oleh pemohon.

Beliau berkata, garis panduan tersebut akan mula berkuatkuasa pada 15 Januari ini di mana usaha-usaha yang dilaksanakan jelas menunjukkan bahawa pihak Majlis prihatin kepada keperluan dan kehendak rakyak untuk memberi perkhidmatan yang lebih efisyen dan cekap.

Sementara itu, ahli-ahli Majlis dan Pemerhati dari penggal tahun sudah dikekalkan bagi penggal baru sehingga bulan Jun depan.

9 comments:

  1. Hope that the MPS will be able to help improve the infrastructure developments in the district.

    ReplyDelete
  2. MPS kena buktikan yang mereka boleh jalankan tugas dengan baik kerana banyak kritikan telah diberi sejak akhir2 ini.

    ReplyDelete
  3. dgn adanya kewangan yang kukuh, harap MPS dapat laksanakan peranan mereka dgn baik.

    ReplyDelete
  4. MPS perlu memantapkan prestasi kerja dan kualiti kerja. Harus lebih peka.

    ReplyDelete
  5. teruskan berusaha untuk menjadi lebih kukuh dan mantap.

    ReplyDelete
  6. kakitangan MPS juga perlu berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka dari masa ke masa.

    ReplyDelete
  7. Baguslah kalau kewangan MPS kukuh. Apa pun pastikan perkhidmatan yang diberikan bermutu dan berkualiti.

    ReplyDelete
  8. MPS perlulah berusaha melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk di Sandakan.

    ReplyDelete
  9. tahniah jika benar semakin kukuh.. dengan ini MSP tidak sepatutnya mempunyai masalah memenuhi apa2 kekurangan dibandaraya Sandakan..

    ReplyDelete