Sabahkinitv Production

Loading...

Sunday, September 30, 2012

HAK NCR 1930 Vs HAK NATIVE BN




Oleh : ABDULLAH SANI HJ ABDUL SALLEH

KENYATAAN Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Osman Jamal pada 26 September 2012 di Sabahkini.net yang mengatakan bahawa Hak NCR Bumiputera sudah tidak berkuat-kuasa sejak 13 Disember 1930 dan pemohon selepas tarikh itu tidak lagi mempunyai hak demikian; amat bermuslihat dan tidak bertanggung jawab.

Beliau telah mentafsirkan seperti di bawah ini :

“With this, any illegal settlement on government land (despite how long the tenure was) or settlement with temporary stay authorisation could not make any claim, grant, importance or shape any rights to demand ownership on the land from the government.”

Dengan tafsiran ini, bererti penempatan masyarakat nelayan pesisir pantai khasnya masyarakat tepi pantai yang juga dikenali sebagai 'Tou’ Higad' dan bumiputera yang tinggal di semua kawasan itu di negeri Sabah; serta rakyat di kawasan Pedalaman  telah terancam masa depan mereka kerana kehilangan Hak disebabkan pembatalan undang-undang berkenaan.
Sehubungan itu, pada pandangan saya, kerajaan BN perlu berbuat sesuatu mengenai perkara ini dan tidak membiarkannya berlarutan mengikut tafsiran sesuka hati sehingga membelakangkan Dewan Undangan Negeri dan Mahkamah; yang akhirnya menyebabkan penghapusan hak Anak Negeri Sabah terus tergadai.

Dewan Undangan Negeri Sabah yang dibentuk atau diwakili oleh 92% kerusi Bumiputera atau 'Native' yang mempunyai Hak NCR di Negeri Sabah, sementara 100% kerusi Native atau Bumiputera yang mewakili kerusi DUN Sabah adalah mewakili kerajaan Barisan Nasional negeri ini.

Persoalannya, sudah 49 tahun 'Merdeka' tetapi 'Kerajaan dan YB-YB BN' belum merdeka untuk menggubal undang-undang dan mentafsir undang-undang mengikut kehendak rakyat dan hak asasi mereka?

Kenapa Kerajaan BN yang kini diterajui Datuk Seri Musa Aman belum bersedia mengkaji semula undang-undang itu untuk dikembalikan dan diperkasa  berdasarkan keperluan Hak Anak Negeri; sebaliknya membiarkan 'Tiga Individu Laknat' iaitu Pengarah Jabatan Hutan (Datuk Sam Mannan) dan Pengarah JTU (Datuk Osman Jamal) dan 'Peguam Besar Negeri Sabah' (Datuk Antony Roderic @ Manthoapil Fernandez) secara membabi buta mengeliru dan menghasut rakyat melalui tafsiran mereka terhadap Bab 68, Ordinan Tanah Negeri Sabah di bawah Seksyen 13, 14,15 dan 16 berhubung Hak NCR.

Kita semua perlu faham dan akur kepada kehendak rakyat bahawa bangsa yang merdeka adalah bangsa yang mempunyai Hak dan kelebihan di dalam negaranya sendiri untuk menlindungi masa depan mereka, bukannya terus digertak dan ditakuti oleh 'Agen Asing' atau melindungi kepentingan pihak tertentu.

Mungkin ramai lupa bahawa salah satu syarat pembentukan Malaysia ialah dengan menempatkan Hal Ehwal Tanah dan Kerajaan Tempatan di dalam senarai negeri atau Hak Negeri untuk selama-lamanya

Tujuan utama syarat unggul ini ialah supaya rakyat Sabah terus menjadi tuan di negerinya sendiri. Di samping itu juga, British telah mewujudkan Mahkamah Anak Negeri bagj menjaga Hal Ehwal Adat Istiada rakyat tempatan bagi menjamin kedaulatannya rakyat negeri ini terjaga dan tidak terluput.

Saya yakin bahawa Anak Negeri dan Bumiputera Negeri Sabah 'TIDAK' akan menerima kenyataan bahawa 'HAK NCR' mereka telah terhapus sejak 1930 berdasarkan undang-undang yang sedia ada?

Sebagai contoh, Kes Ramilin di Pitas tempoh hari telah mengesahkan bahawa Hak NCR tidak boleh terhapus walaupun ketiadaan Undang-undang seperti mana yang diputuskan oleh hakim dan perkara ini boleh kita ambil rujukan untuk memperkasa masa depan kita di negeri ini.

Dalam hal ini, penduduk Sabah Bumiputera perlu bersatu jika kesemua wakil rakyat mereka gagal untuk membetulkan undang-undang yang telah terhapus ini, tiada gunanya kerusi bumiputera yang menyokong kerajaan BN 100% berada di sana. Jika mereka gagal menjaga kepentingan dan hak Bumiputera atau NCR terabai yang mewakil lebih dari 90% kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sehubungan itu, Kerajaan Sabah yang dikendali dengan baik oleh Datuk Musa Aman ketika ini tidak mengulangi kesilapan Tun Mustapha, Harris Salleh, Pairin Kitingan dan semua Ketua Menteri Merry Go-Round; yang bacul untuk membuka mulut berkata 'TIDAK' kepada kemungkaran kerana terlalu menjadi 'TUAN BESAR' dari MALAYA!

Sebelum Sabah di 'Melaya' (diterlentangkan) untuk 'diperkosa' oleh pemimpin rakus dari Kuala Lumpur dan pemimpin Sabah sendiri; ada baiknya rakyat Sabah bersatu hati memberi sokongan padu kepada pemimpin Sabah yang benar-benar berjuang untuk Sabah sebelum terlambat!

JANGAN TUDUH KERAJAAN BERSIFAT POPULIS




SEREMBAN : Pembentangan Belanjawan 2013 bukan langkah untuk membeli undi rakyat tetapi merupakan komitmen kerajaan untuk memakmurkan negara, kata Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.

Justeru, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak harus dituduh bersifat populis kerana berjaya mencipta pelbagai kejayaan dan menunaikan janji yang diberi kepada rakyat.

Najib berkata pelbagai dasar dan perbelanjaan yang dilaksana untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi sehingga negara mampu mencatat perkembangan memberangsangkan ketika dunia berdepan kemelut ekonomi, merupakan antara kejayaan besar kerajaan selain penyenaraian FELDA Global Ventures Holding (FGVH) yang mencatat Terbitan Saham Awal (IPO) kedua tertinggi selepas Facebook.

“Ini kebanggaan kita, jadi kita tak boleh dituduh sebuah kerajaan yang bersifat populis. Kerajaan yang bersifat populis adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab, yang menjanjikan perkara-perkara yang tidak mungkin dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis 'Jelajah Janji Ditepati' di Stadium Belia dan Sukan Paroi, di sini.

Kira-kira 12,000 anggota masyarakat dari seluruh pelusuk negeri  memeriahkan majlis itu yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan. (Bernama)

12 SUSPEK DIKEHENDAKI DALAM KES BUNUH





LAHAD DATU: Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daerah Lahad Datu telah menahan seorang lelaki dan mengesan 12 lagi suspek lain bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki dalam satu kejadian di Kampung Air, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Shamsudin Mat dalam sidang media bersama wartawan berkata, dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.41 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Ibnu Sala, 56, mati sebaik tiba di Hospital Daerah Lahad Datu akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian belakang leher, perut, belakang badan dan di kepala selepas diserang oleh sekumpulan lelaki yang bersenjata tajam dalam pergaduhan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham yang timbul di antara mereka hingga menyebabkan dua lagi ahli keluarga mangsa turut mengalami kecederaan dan salah seorang daripadanya parah.

“Manakala salah seorang lelaki daripada kumpulan 12 orang suspek yang dikehendaki itu difahamkan turut mengalami cedera ringan, ketiga-tiga mangsa yang berumur lingkungan 16 hingga 44 tahun itu cedera kebanyakannya di bahagian tangan.

“Walau bagaimanapun, suspek utama dalam kejadian itu telah berjaya ditangkap satu setengah jam kemudian di kawasan berhampiran selepas sepasukan anggota JSJ dikerah bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Shamsudin berkata, pihaknya kini turut dibantu oleh cawangan dari unit D9 daerah Kota Kinabalu yang tiba di sini bagi membantu, mengesan dan menangkap 12 suspek yang dikehendaki itu.

“Dengan adanya bantuan itu, pihak kita percaya kesemua suspek yang masih berada di dalam daerah ini akan berjaya ditangkap dalam masa terdekat berdasarkan maklumat-maklumat yang telah dikumpul dan diperolehi,” katanya sambil menambah, dalam kejadian itu pihaknya juga turut merampas beberapa senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Beliau turut mengingatkan kepada orang awam atau masyarakat di daerah ini supaya tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang di tangan sendiri sekiranya berlaku kejadian-kejadian seperti itu.

“Ini bagi mengelakkan diri mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka membuat undang-undang sendiri tanpa memaklumkan sesuatu kejadian itu kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada hari yang sama, Shamsudin berkata seorang lelaki warga asing ditemui mati dalam keadaan terlentang di kawasan semak dengan keadaan perut terburai serta cedera di bahagian tengkuk hingga ke dada dipercayai mati akibat dibunuh.

Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Ubi Jalan Dam itu, pihaknya telah menerima satu laporan daripada rakan mangsa berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.30 pagi dan mengerahkan sepasukan anggota JSJ bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya telah menjumpai mayat lelaki terbabit yang dikenali sebagai Salih Khan berumur 30 tahun dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah, dan dipercayai telah dibunuh sehari sebelum mayat mangsa dijumpai.

Ekoran itu, pihaknya juga telah menahan seorang wanita berumur 40 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Pihak kita juga telah mengenal pasti suspek utama dalam kejadian itu yang merupakan seorang lelaki berumur lingkungan 40-an dan merupakan seorang pekerja di salah sebuah syarikat perladangan.

“Kita percaya suspek akan dapat ditangkap dalam masa terdekat ini,” katanya sambil menambah, pihaknya juga telah merampas satu senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu pada jarak kira-kira 250 meter daripada tempat mayat ditemui.

Kedua-dua kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes masih diteruskan. Orang ramai yang melihat, terdengar atau mengetahui akan kejadian itu diminta supaya menghubungi pegawai penyasat iaitu Insp Abdul Mutalib Harun di talian 013-5470133 atau ASP Ang Siow Aun di talian 016-8799320 bagi memaklumkan sebarang maklumat yang berkaitan. (UB)


CINTA ANWAR HANYA BERNILAI RM50,000?




                    
Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI

SURAT cinta Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendapat bidaan paling tinggi apabila dibeli dengan harga RM50,000 pada Majlis Makan Malam Perdana Pakatan Rakyat di Stadium Melawati Shah Alam malam kelmarin.

Majlis makan malam yang bertujuan bagi mengumpul dana pilihan raya Pakatan Rakyat itu juga turut menyaksikan Wan Azizah membacakan surat 'cinta' yang ditulis Anwar semasa beliau berada dalam penjara Sungai Buloh sebelum dibeli.

Surat itu dibida dengan harga pembukaan RM50,000 dan dibeli oleh ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin.

Antara kandungan surat cinta itu bertulis supaya Wan Azizah berhati-hati dalam memberikan makanan kepada Anwar dan menjaga anak-anak mereka.

"Saya dah beri banyak barang untuk dilelong pada malam ini. Tetapi bila ditanya apakah benda paling berharga atau apa-apa yang dari penjara, lalu saya terfikirkan surat ini.

"Minta maaf jika saya menangis. Tetapi semasa saya tengok surat ini pun saya sudah menangis. Surat ini Anwar beri secara sembunyi dengan meletakkan di fail dokumen peguam," kata Wan Azizah sebelum membacakan surat tersebut.

Selain surat 'cinta' tersebut, terdapat beberapa lagi barangan milik pimpinan Pakatan Rakyat yang dilelong untuk tujuan pengumpulan dana kewangan pilihan raya.

Lukisan karikatur Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque yang diberi nama 'Kuasa Rakyat' pula mendapat bidaan kedua tertinggi apabila dibeli dengan harga RM32,000.

Kutipan penuh RM182,000. Zunar melukiskan karikatur itu secara langsung di atas pentas sebelum lukisan itu dibeli.

Antara barangan milik pimpinan Pakatan yang menarik perhatian untuk dilelong ialah sebuah patung beruang milik exco kanan kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok yang mendapat bidaan sehingga RM10,000.

Menurut pengerusi majlis makan malam itu, patung beruang tersebut menjadi peneman tidur Teresa selama beberapa tahun sebelum beliau dengan rela hati memberinya untuk tujuan lelongan amal bagi mengumpul dana.

pakatan mega dinner anwar love letter 280912Antara barangan lain yang dilelong ialah sebuah gambar dan tongkat milik Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dibeli dengan harga RM12,000.

Gambar yang dilelong merupakan sebuah gambar yang diambil sehari sebelum beliau dimasukkan ke hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian bagi tujuan rawatan kesihatan manakala tongkat tersebut merupakan tongkat yang sering digunakan oleh Nik Aziz.

Barangan lain yang dilelong pada malam tadi juga ialah pen milik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang digunakan untuk menulis surat semasa di penjara Kajang yang dibeli dengan harga RM23,000, sebuah gambar yang diambil pada tahun 80-an milik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedang bersantai ditepi laut beserta topi nelayan dibeli dengan harga RM17,000.

Sebuah gambar Pengerusi DAP Karpal Singh juga turut dibeli dengan harga RM12,000. Gambar dalam bentuk poster filem itu turut ditulis dengan perkataan 'Singh is king'.

Gambar graduasi hitam putih milik bekas timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali turut dibeli dengan harga RM15,000 dan sebuah gambar dan plat kubah milik bekas presiden PAS, allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dibeli dengan harga RM11,000.

Jumlah kutipan bagi keseluruhan hasil daripada bidaan ini ialah sebanyak RM182,000. (MKINI)