Tuesday, 11 January 2011

6 KALI LAWAT, JAMBATAN BELUM DIGANTI?



PERIKSA….Masiung bersama beberapa orang pegawai kanan kerajaan negeri melawat dan memeriksa jambatan usang di kampung Malagatan, Tongod.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

RAKYAT didahulukan pencapaian diutamakan. Itulah slogan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang setiap kali dilaung-laungkan di majlis-majlis rasmi kerajaan tetapi kalau tidak dilaksanakan, bolehkah hasrat dan cita-cita kerajaan mencapai sasaran dan matlamat tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Masiung Banah berkata demikian kepada pihak media semasa lawatannya ke Kampung Malagatan Tongod kelmarin untuk meninjau sebuah jambatan kayu yang sudah usang dan boleh mendatangkan risiko kecelakaan kepada lebih 2,000 ribu penduduk kampung yang berhampiran.

“Sejak saya menjadi Wakil Rakyat pada 2008, sudah lebih 6 kali melawat jambatan ini dan meminta pihak kerajaan supaya membina jambatan ini dengan beberapa segera tetapi rayuan saya langsung tidak didengar oleh jabatan Kerja Raya dan pihak kerajaan,” ujar Masiung dengan nada kesal.

Kata Masiung, semasa beliau bermesyuarat dengan pihak Jabatan Kerja Raya, mereka sudahpun menganggarkan kos pembinaan jambatan konkrit itu akan menelan belanja RM 1 juta sahaja.

“Saya bukan setakat berbincang atau bermesyuarat dengan JKR, bahkan turut memaklumkan kepada Pejabat Daerah Tongod supaya jambatan tersebut dibaiki atau dibuat semula; tetapi sehingga sekarang, segala permintaan saya sebagai wakil rakyat yang bertungkus lumus ingin membantu rakyat di kampung ini sia-sia belaka,” tegas Masiung yang kesal dengan karenah birokrasi JKR dan Pejabat Daerah.

Sehubungan itu, Masiung yang cuba mengatasi permasalahan yang telah dan sedang berlaku di Kampung Malagatan ini, kecewa kerana nampaknya pegawai kerajaan tidak seiring dengan hasrat beliau dan mencatatkan perancangan Kerajaan Malaysia kerana mereka seolah-olah tidak mempedulikan rintihan rakyat.

“Rakyat hanya tahu menyalahkan wakil rakyat dan mendakwa wakil rakyat tidak turun padang untuk menemui rakyat yang mempunyai kemuskilanan dan perkara ini telah menjadi bahan ejekan kepada pihak parti pembangkang,” tambahnya.

Masiung bertambah kesal kerana jambatan usang sepanjang 100 kaki dan 12 kaki lebar tersebut pernah meragut nyawa seorang belia, Jerely Jeffry setelah motorsikalnya terjunam ke dalam sungai 10 Januari 2010.

“Peruntukan Adun saya memang tidak mencukupi, tetapi berharap agar pihak yang mempunyai peruntukan bertindak segera sebelum ada lagi nyawa yang terkorban kerana jambatan tersebut tidak selamat dilalui sebarang kenderaan, termasuk motorsikal,” tegas Masiung.

No comments:

Post a Comment