Monday, 3 January 2011

MENARA SESB DI RANAU AKAN DISELENGGARA



By: KOMUNIKASI SESB

KERJA-KERJA penyelenggaraan kritikal menara (tower) 225 di Kampung Kituntul, Ranau bagi talian penghantaran (transmission line) 275kV Sabah East–West Interconnection (Sambung tara Grid Timur–Barat Sabah) akan bermula pada 4 Januari 2011. SESB ingin memaklumkan kepada pengguna-pengguna di Pantai Timur Sabah sekalian kemungkinan gangguan bekalan semasa kerja-kerja giat dijalankan.

Penyelenggaraan dan pemasangan/pembinaan menara baru yang dijangka siap pada 18 Januari 2011 dikenalpasti setelah pemeriksaan dijalankan dan didapati struktur tapak yang sedia ada telahpun berubah dan tidak stabil.

Namun yang demikian, penghantaran sebanyak 30MW (maksima) bekalan elektrik (power transfer) ke Pantai Timur Sabah akan diteruskan bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik di seluruh Sabah. Buat masa ini, beban puncak (peak demand) bekalan elektrik di Sabah adalah sebanyak 779MW sehari.

Talian penghantaran sepanjang 246km ini merupakan talian utama yang menyambungkan Grid Pantai Timur dengan Grid Pantai Barat Sabah. Secara purata sebanyak 50-140MW tenaga elektrik di hantar (power transfer) ke Pantai Timur Sabah setiap hari.

Kerja-kerja penyelenggaraan seperti ini adalah antara langkah proaktif yang diambil oleh SESB untuk mencapai sasaran SAIDI 700 pada tahun lalu. Setakat 31 Disember 2010, bacaan SAIDI untuk seluruh Sabah adalah 687.38, menunjukkan penurunan yang mendadak daripada bacaan tahun sebelum itu, iaitu 2,867. SAIDI atau System Average Interruption Duration Index adalah satu usaha kerajaan untuk memperbaiki status bekalan elektrik di Sabah secara menyeluruh.

Pihak SESB memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh para pengguna di kawasan yang terlibat.

No comments:

Post a Comment