BINCANG… Jamawi (kiri sekali) sedang membincangkan sesuatu dengan Edris Maidin (duduk kanan sekali) selepas mesyuarat khas berkenaan
Oleh: MAIL MATHEW
PERGERAKAN Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah akan terus memantau dan seterusnya membantu belia-belia Sabah yang berhijrah ke Kuala Lumpur, sama ada yang telah mendapat pekerjaan tetap mahupun mereka yang belum mempunyai sebarang pekerjaan, terutamanya mereka yang menghadapi masalah.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Pusat, Jamawi Jaafar menyatakan demikian kepada Sabahkini.net pada Isnin berhubung tindakan susulan pergerakan itu terhadap masalah belia-belia yang kini masih berkeliaran di Semenanjung mencari pekerjaan tetap.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas fungsi dan peranan yang bakal dimainkan oleh Pejabat Perhubungan Sabah-Kuala Lumpur dengan Pergerakan Pemuda UMNO/BN Sabah yang telah membuka kaunter perkhidmatan di lokasi Jalan Masjid India khusus untuk belia-belia yang berada di Semenanjung.
“Kita mula beroperasi dari jam 5 petang hingga jam 8 malam setiap hari Selasa dan perkhidmatan kita terus memfokuskan kepada usaha membantu mereka mendapatkan pekerjaan, selain hal ehwal kebajikan termasuk pemberian makanan,” jelas Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda BN Tenom.
“Kita juga berterima kasih kepada pengurusan Pejabat Perhubungan Sabah-Kuala Lumpur yang dahulunya dikenali sebagai Rumah Sabah kerana kesudian Pengarahnya, Edris Maidin membantu kita melancarkan program ini dengan jayanya,” tambahnya lagi.
Jamawi yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan seterusnya berkata bahawa program tersebut selain mengesan dan menjejaki belia-belia Sabah dan membantu mendapatkan pekerjaan tetap di rantau itu, program tersebut turut membantu mereka mendaftar sebagai pengundi di bawah kelolaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Tegasnya lagi, beliau mahu para belia yang merantau di Semenanjung memahami tanggung jawab mereka terhadap Negara apabila mendaftar sebagai seorang pengundi yang sedikit sebanyak dapat mendidik mereka terhadap erti ‘tanggung jawab’ selain terus merantau di negeri orang.
“Sebenarnya program ini bukan baru tetapi kita sudah mulakan sejak Jun 2010 lagi. Ketika itu timbul isu belia Sabah hidup merempat di Kuala Lumpur kerana tiada pekerjaan tetap. (Jadi)…kita tidak mahu lagi isu seperti itu muncul kembali,” jelasnya sambil menekankan bahawa Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim ketika meninjau kaunter tersebut memuji peranan yang dijalankan oleh pergerakan itu dalam membantu para belia di Sabah yang merantau di Semenanjung.
Ditanya lanjut mengapa program dan kaunter itu diadakan di Jalan Masjid India, beliau berkata, “Kita fokuskan program dan kaunter ini di kawasan yang menjadi tumpuan para belia bersantai dan mudah bagi mereka berurusan. Perkhidmatan kita adalah percuma termasuklah pemeriksaan kesihatan.”
No comments:
Post a Comment