SERAH…Radin Malleh sedang menyerahkan kunci rumah kepada salah seorang penerima.
Oleh: MAIL MATHEW
PEMBANTU Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh menggesa para penerima program bantuan rumah (PBR) khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap agar memanfaatkan sebaik mungkin bantuan kerajaan kepada mereka selain terus berusaha gigih secara berdikari untuk meningkatkan sosio ekonomi masing-masing melalui bidang pertanian.
Katanya, peluang untuk menerokai pelbagai bidang dalam meningkatkan sosio ekonomi sama ada dalam bidang pertanian, pembuatan kraftangan atau mengusaha makanan ringan yang dihasilkan dari produk makanan tempatan kini terbuka luas apabila kerajaan menawarkan pelbagai kursus keusahawanan.
“Kerajaan komited membantu rakyat yang masih dibelenggu kemiskinan di kawasan luar Bandar dan sebab itu kerajaan telah menyediakan pelbagai rancangan antaranya Program Peningkatan Pendapatan (PPP) melalui Pejabat Daerah terutamanya mereka yang mempunyai tanah terbiar,” tegas Radin.
“Kita tiada pilihan lain selain ia bermula dari diri kita sendiri untuk berusaha gigih keluar dari kepompong kemiskinan demi kepentingan masa depan keluarga dan anak cucu cicit kita dalam menerokai arus kemajuan pesat yang kini semakin pantas berlalu…kalau bukan kita yang memulakannya…, siapa lagi,” tambahnya lagi.
Radin yang juga Wakil Rakyat Kawasan Dun Melalap berkata demikian ketika majlis penyampaian kunci rumah kepada para penerima PBR seramai 34 orang dikawasan Mukim Entabuan Saga pada Isnin.
Hadir sama di majlis itu, Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Melalap Blasius Masuning, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Primus Takom, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Melalap Charlton Madis Suman dan para pemimpin masyarakat tempatan.
Dalam pada itu, Radin mengajak rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan yang begitu gigih melakukan anjakan sosio ekonomi termasuklah usaha mentransformasikan pendapatan rakyat ke arah yang lebih pesat menjelang wawasan tahun 2020.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa, “Program seperti ini tidak terdapat dinegara negara lain, melainkan hanya di Malaysia,” sambil menjelaskan ia adalah selaras dengan matlamat kerajaan yang mendahulukan rakyat.
No comments:
Post a Comment