Oleh: ZAKI EMPIN
KERAJAAN khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) digesa agar menambah pembinaan prasarana pendidikan sekolah di kawasan luar bandar khususnya di daerah Tenom bagi menampung pertambahan pelajar yang kini semakin meningkat jumlahnya dari semasa ke semasa.
Malahan masih ada kedengaran kes pelajar pelajar tercicir kerana tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan disebabkan kekurangan bangunan prasarana yang mencukupi.
Ahli Parlimen Malaysia (TENOM), Datuk Raimie Unggi berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG dan Ceramah Keibubapaan SM. ST. Anthony, Tenom bagi sesi 2011 bertempat di Dewan Serbaguna SM. ST. Anthony Tenom baru-baru ini.
Raime seterusnya berkata, kapasiti pelajar hari demi hari semakin bertambah dan keperluan bangunan dan prasarana pendidikan untuk pelajar bagi mendapatkan pendidikan semakin meluas.
Tegasnya, beliau turut melahirkan harapan dengan adanya sekolah menengah yang baru, khususnya SM. Chinta Mata (baru beroperasi) akan menampung keperluan pelajar terutama sekali penyediaan kelas bagi Tingkatan Enam.
Beliau menambah, ekoran kepesatan pertambahan pelajar maka beberapa permohonan untuk cadangan pembinaan prasarana pendidikan di kawasan parlimen Tenom telah pun dikemukakan kepada pihak kerajaan untuk pertimbangan dan seterusnya kelulusan.
“Kita memuji komitmen dan kegigihan pihak sekolah SM. ST. Anthony Tenom sehingga mencapai prestasi yang cemerlang dalam SPM 2010 sehingga berada dalam kelompok 23 buah sekolah yang mencapai 100% dalam SPM 2010 di Negeri Sabah,” tegas beliau.
Adalah kerana tambah beliau, peranan proaktif ibubapa melalui permuafakatan dalam PIBG telah dapat menyumbang kepada kelancaran usaha pihak sekolah meningkatkan prestasi sekolah khususnya dalam kurikulum dan ko-kurikulum.
“Saya yakin bahawa usaha sekolah ini untuk mencapai visi sebagai sekolah yang cemerlang di daerah Tenom dapat direalisasikan dengan adanya komitmen semua pihak,” kata Raimie dengan bangganya.
Dalam pada itu, Raime turut memuji komitmen PIBG sekolah ini yang berperanan secara proaktif membantu meningkatkan pencapaian sekolah sepertimana yang telah terbukti beberapa pencapaian prestasi pendidikan pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangannya di masa lepas.
Dalam majlis ini juga Raime turut menyampaikan sumbangan kewangan untuk dana PIBG sekolah itu dan mengumumkan sumbangan dana berupa geran sebanyak RM2,000 setiap tahun kepada PIBG sekolah tersebut.
Sementara itu, Raimie memberitahu bahawa Parlimen Tenom mendapat peruntukan untuk menjana pembangunan sejumlah RM2.4 juta tahun ini yang memberikan tumpuan kepada PIA dan PIAS.
Katanya, kontraktor kontraktor kelas F adalah diberi peluang untuk turut serta di dalam cabutan secara berkomputer yang lebih telus dan memberi kesaksamaan kepada semua pihak khususnya para kontraktor.
No comments:
Post a Comment