Wednesday, 20 April 2011

TEMPAT PERHIMPUNAN SAPP DIPINDAH?



Oleh: MEDIA SAPP

PERMOHONAN permit polis oleh Pemuda SAPP untuk program ‘Perhimpunan Memperingati Hari Ke-900 KK Tanpa Hospital Besar Queen Elizabeth’ tidak diluluskan oleh Polis Bandaraya Kota Kinabalu.

Surat tersebut disampaikan sendiri oleh OCPD Daerah Kota Kinabalu, Ahmad Sofi Zakaria, ketika mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa penganjur perhimpunan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Karamunsing.

Jeffrey George dalam kenyataan selepas pertemuan tersebut berkata, mereka (Pemuda SAPP) menerima dengan hati yang terbuka terhadap nasihat dan saranan yang disampaikan oleh OCPD atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam yang mungkin terjejas disebabkan oleh perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun, Pemuda diberi kelonggaran untuk mengadakan perhimpunan sebagai tanda memperingati ‘Hari ke-900’ tersebut di perkarangan Ibu Pejabat SAPP di Bornion Center, Luyang, pada tarikh dan masa yang sama iaitu 24 April 2011 (Ahad), bermula dari 9.30 pagi.

Pertemuan selama 40 minit tersebut diadakan dalam suasana yang mesra yang turut dihadiri oleh 3 pegawai kanan Polis daerah Kota Kinabalu dan pada masa yang sama beberapa permasalahan yang dihadapi oleh warga bandaraya terutamanya dari segi keselamatan turut dibincangkan.

Sebelum ini, Pemuda SAPP Zon Kota Kinabalu telah memohon permit polis pada 12 April yang lalu dengan tujuan mengadakan perhimpunan bagi mendesak Kerajaan supaya memastikan kerja pembinaan bangunan baru Hospital Besar Ratu Elizabeth disiapkan mengikut jadual kerana Pemuda SAPP tidak ingin melihat berlakunya kelewatan seperti projek ‘Laluan Bertingkat dan KKIA’.

Menara bangunan lama Hospital QE yang telah dibina dalam tahun 1981 dengan kos bernilai RM20 juta telah diiktirafkan tidak selamat dalam bulan Oktober 2008 oleh Menteri Kesihatan. Kerja merobohkan menara lama telah dimulakan pada jun tahun lalu dan kerja pembinaan bangunan baru dijangkakan akan siap sepenuhnya dalam masa 30 bulan menurut penerangan dari Jabatan Kesihatan negeri.

Sebelum ini Pemuda SAPP telah mengadakan perhimpunan yang serupa sejak tahun lalu bermula dari hari Hari ke- 500, ke-600, ke-700 dan yang akan datang merupakan hari ke-900.

Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Ketua Pemuda Api-Api, Pang Thien Fook, Ketua Pemuda Tamparuli Stephen Gaimin dan Ketua Pemuda Luyang Yong Yit Yoong.

No comments:

Post a Comment