KENANGAN……..Papartaim (dua dari kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Abdul Rahman (tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh Matlan (kiri sekali), Abdul Bahkrin (dua dari kiri) dan Jainol (kanan sekali) sebagai tanda penghargaan pada majlis itu.
Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI
SEBANYAK 4,600 unit komputer 1Malaysia akan diageh-agehkan kepada para pelajar di beberapa buah sekolah menengah di daerah Kota Belud.
Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata untuk fasa yang pertama sejumlah 1,600 unit komputer 1Malaysia akan diagehkan kepada para pelajar di daerah itu dalam masa yang terdekat ini.
Katanya, pengagihan fasa II dan fasa III komputer 1Malaysia turut akan melibatkan orang awam selain para pelajar sekolah menengah.
“Ini komitmen kerajaan Barisan Nasional untuk memastikan semua rakyat mendapat akses kepada maklumat terkini di dunia ini menerusi komputer 1Malaysia. Dengan adanya komputer 1Malaysia ini rakyat akan terdedah kepada seribu satu macam maklumat tanpa sempadan dengan sekelip mata.”
Beliau mengumumkan pengagehan kemudahan tersebut ketika berucap merasmikan mesyuarat PIBG SMK Pekan Kota Belud II dekat sini, baru-baru ini.
Jelas Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah pengagehan komputer 1Malaysia itu pada peringkat awalnya dirancang diageh-agehkan pada tahun lepas tetapi memandangkan terdapat sedikit perubahan maka pengagehan tersebut ditangguhkan.
Menurutnya, proses pemutihan permohonan sedang rancak dijalankan di peringkat nasional dan negeri.
Katanya, pihak SKMM cuba untuk memastikan sekurang-kurangnya satu unit komputer untuk sebuah rumah akan menikmati kemudahan tersebut.
“Dalam meneliti permohonan kemudahan itu kita dapati terdapat dalam sebuah rumah mendapat lebih dari satu unit komputer. Pihak kerajaan kena berlaku adil kepada semua orang barulah kita dapat memberi komputer kepada rakyat.” tambahnya lagi.
Menurut Abdul Rahman lagi pihak kerajaan sudah menimbang kesan positif dan negatif kebaikan program pemberian komputer 1Malaysia kepada rakyat di negara ini.
Katanya, rakyat akan berdepan dengan ledakan maklumat serta serangan maklumat yang datang dari pelbagai punca yang mungkin boleh mengelirukan.
“Kita tidak mengetahui samada maklumat atau berita yang akan kita baca melalui internet itu betul ataupun sebaliknya. Kerajaan membuka ruang kepada rakyat untuk mencapai internet bersama-sama dengan komuniti dunia yang lain, kita juga seharusnya memasang jaring-jaring menilai kebenaran maklumat yang bakal kita perolehi, Kita kena berhati-hati, jangan mudah menerima setiap maklumat yang diperolehi dari internet,” tambahnya lagi.
Hadir sama pada majlis itu antaranya Pegawai Pelajaran Daerah Abdul Bahkrin Mohd Yusof; Pengetua SMK Pekan Kota Belud II, Matlan Datu Unjong; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Pekan Kota Belud II, Jainol Sair; Yang Di-Pertua PIBG SMK Pekan Kota Belud II, Papartaim Bidin; Timbalan Ketua Bahagian Umno Kota Belud, Awadnir Matanggal serta para pemimpin setempat yang lain.
No comments:
Post a Comment