TRADISI…Lajim mengiringi ketibaan Hajiji dengan didahului dengan ‘dulung’ iaitu salah satu adat tradisi masyarakat Bisaya.
Oleh :JAAFAR ABDUL WAHID
PENANTIAN masyarakat Bisaya untuk memiliki sebuah Pusat Kebudayaan akhirnya menjadi kenyataan apabila pembinaan pusat tersebut mendapat kelulusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia.
Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, ketika mengumumkan pembinaan Pusat Budaya bernilai RM3 juta berkata; selain menjadi pusat aktviti kesenian dan budaya, ia turut menempatkan dokumen bersejarah mengenai suku kaum Bisaya untuk tatapan umum dan rujukan kepada generasi akan datang.
Menurutnya, walaupun suku kaum Bisaya di negeri ini, agak kecil berbanding suku kaum lain seperti Kadazandusun, Murut dan Bajau; namun masyarakat Bisaya merupakan antara kelompok masyarakat yang turut menyumbang pelestarian kepelbagaian keunikan budaya suku kaum etnik peribumi negeri ini.
“Waran Peruntukan bagi membina Pusat Kebudayaan ini telah pun tersedia dan ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional di bawah Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.Najib komited menjayakan Gagasan I Malaysia, walaupun masyarakat Bisaya merupakan komuniti yang agak kecil di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan sambutan Adau Janang Gayuh 2011 kali ke-8 di Beaufort kelmarin yang turut dihadiri lebih dari 10,000 orang terdiri dari masyarakat Bisaya dan suku kaum yang lain.
Majlis perasmian sambutan tersebut disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Mohd.Noor yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman dan turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Haji Ahmad; Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah Datuk Yusuf Haji Kassim; Presiden Persatuan Bisaya Sarawak Antonio Kahti Galis dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau, Paulus Palu Gimbang.
GERGASI…Hajiji bersama Lajim serta jemputan lain mencuba mengaul sagu dalam kelompang Gergasi yang dipamerkan di gerai (PBBS).
Lajim berharap dengan terbinanya Pusat Kebudayaan Masyarakat Bisaya itu nanti, akan memperluaskan lagi promosi pelancongan di daerah itu menerusi daya tarikan kesenian budaya tempatan dan seterusnya mengukuhkan tahap perpaduan sedia ada di kalangan masyarakat majmuk yang terdapat di negeri ini, khususnya Beaufort.
Tambah beliau, pembinaan Pusat Kebudayaan tersebut merupakan tanda penghargaan kepada kepada rakyat di Beaufort termasuklah Kuala Penyu yang telah menunjukkan komitmen memajukan kawasan masing-masing, sekali gus mengubah mobiliti sosial dan taraf pembangunan pada tahap lebih baik, berbanding sebelumnya.
Terdahulu Hajiji yang membacakan ucapan Musa berkata, penglibatan dan sokongan padu rakyat terhadap pelaksanaan pelbagai program berkaitan kebudayaan suku kaum yang terdapat di negeri ini amat memberangsangkan; sekali gus memberi gambaran positif bahawa perpaduan rakyat negeri ini tetap utuh sesuai dengan semangat Gagasan 1-Malaysia
Musa berkeyakinan, usaha berterusan menjadikan sambutan Adau Janang Gayuh sebagai salah satu sambutan rasmi suku kaum etnik yang terdapat di negeri ini mampu memartabatkan budaya tradisi seterusnya menjadi pemangkin peningkatan taraf hidup rakyat setempat khususnya dalam bidang pelancongan.
Justeru katanya, sambutan Adau Janang Gayuh yang telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri, hendaklah dilaksana dengan baik, dengan mengambil kira peningkatan kualiti penganjuran menerusi kepelbagaian daya tarikan acara; agar terus mendapat perhatian kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa.
Selain persembahan dan pertandingan alat-alat muzik tradisional Bisaya seperti Kulintangan, sambutan Adau Janang Gayuh itu juga turut menyajikan beberapa acara lain seperti Miboshi atau Lumba Perahu, Gayad Bisaya, Tarik Kalat atau Tarik Tali dan makanan tradisi.
No comments:
Post a Comment