Wednesday 27 July 2011

SIKAP ‘MULUT BESAR’ RAHMAJAN DIKESALI



Oleh: MEDIA SAPP

PEGAWAI Penerangan SAPP CLC Melalap, Flavius Robert menolak sekeras-kerasnya kenyataan Ketua Wanita Umno Tenom, Ramahjan Sulaiman Khan yang mendakwa kononnya pembangkang meniru strategi yang digunakan Umno dalam misi mereka mendekati rakya,t adalah suatu kenyataan yang terdesak dan kebudak-budakan.

Tegasnya, beliau menyifatkan kelibat politik Ramahjan sudah tidak menentu setelah melihat asakan bertali arus pembangkang khususnya SAPP, yang semakin diterima rakyat akar umbi, walaupun gerak kerja dilaksanakan secara senyap, namun berisi.

Flavius menambah, Ramahjan yang mengharap sangat untuk dicalonkan bertanding atas tiket UMNO-BN pada Parlimen Tenom pada PRU13, sudah mula tercabar lalu menggelabah apabila ramai wanita Umno mula mempertikaikan kredibiliti dan latar belakang Ramahjan, sama ada benar anak jati Tenom atau orang luar.

Beliau menambah, SAPP memandang serius dakwaan Ramahjan itu kerana kepimpinan SAPP Tenom tidak pernah mencedok strategi Umno dalam apa juga keadaan untuk mendekati rakyat; namun jentera pilihanraya SAPP lebih mantap, malah sudah bersedia menghadapi UMNO-BN pada PRU13 yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

“Mungkin juga dalam keadaan yang menggelabah itu, Ramahjan terbawa bawa mimpi ngerinya yang senantiasa membayangi kebimbangannya, ia tidak akan dicalonkan dalam pilihanraya akan datang ini. Maka dia cuba sedaya-upaya untuk menyakinkan kepimpinan Umno, kononnya Ramahjan merupakan pemimpin berani dan lantang bersuara mengecam pembangkang,” tegas Flavius.

Sebaliknya tegas Flavius, rakyat sekarang sudah jauh lebih matang berpolitik malah mereka lebih matang dalam membuat sesuatu keputusan tanpa mendengar pemimpin yang ‘bermulut besar dan mendedahkan dada’, sama seperti sikap Ramahjan.

“Rakyat sudah menilai prestasi UMNO-BN selama 17 tahun menerajui kerajaan di Sabah. Tidak perlulah Ramahjan terjerit-jerit memuji Umno ibarat ayam bertelur sebiji, riuh sekampung. Namun sebaliknya kerajaan BN yang ditunjangi Umno yang cuba dicanangkan Ramahjan, khususnya diTenom, lebih banyak keburukan daripada kebaikan,” tambah Flavius lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa misi dan visi perjuangan SAPP yang berpaksikan kepada keinginan parti itu untuk mengembalikan hak kuasa otonomi dan meletakkan 20 Perkara sebagai asas perjuangannya, kini semakin diterima rakyat di kawasan akar umbi, khususnya di Parlimen Tenom.

“Kita bukan menentang pembentukan Malaysia dan memusuhi pemimpin Persekutuan tetapi niat kita adalah jelas untuk mengkaji dan membetulkan pembentukan Malaysia kerana Sabah, Sarawak dan Malaya adalah rakan kongsi dalam kerajaan Malaysia sepertimana Perjanjian Malaysia yang hampir sama dengan 20 Perkara. Selaku rakan kongsi tentunya prinsip kesaksamaan dan keadilan harus diwujudkan,” tegas beliau.

No comments:

Post a Comment