Saturday 23 July 2011

TENOM ‘BERPESTA AIR’ DISEMBER 2011


AIR....Raimi sedang mengisi air ke dalam baldi yang disediakan penduduk kampung di Saga Laut yang menghadapi masalah bekalan air.

Oleh : MUTALIB M.D

KEKONTANGAN paip yang berlaku sekarang, ketika Tenom mengalami kelebihan air dijangka akan berakhir pada Disember 2011 atau selewat-lewatnya Januari 2012 setelah proses penukaran paip lama kepada paip baru dilaksanakan dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raimi Unggi memberitahu Sabahkini.net setelah melawat Loji Rawatan Air di Senagang dan beberapa kampung yang mengalami masalah bekalan air paip sejak 11 bulan lalu.

“Pada hakikatnya, Tenom tidak pernah mengalami masalah bekalan air kerana loji baru di Senagang mampu membekalkan lebih 6MLD air terawat berbanding permintaan 2.7 MLD, tetapi ada air lebih pun tidak ada guna jika masalah tekanan menjadi punca kenapa air tidak sampai ke beberapa buah kampung,” ujar Raimi.

Memandangkan masih terdapat paip lama iaitu asbestos, maka kata Raimi, paip berkenaan akan mudah pecah jika Jabatan Air menaikkan kadar tekanan bagi membolehkan air disalurkan ke kampung yang agak jauh atau di kawasan tanah tinggi; apatah lagi paip asbestos tidak selamat digunakan kerana bahaya keracunan asbestos, iaitu menjadi punca kanser.

BARU....Raimi menunjukkan paip baru bagi menggantikan paip bermasalah di sesetengah kawasan.

“Saya menerima banyak aduan setiap hari dan pengguna memaklumkan bahawa setiap hujung minggu mereka tidak mendapat bekalan air termasuk kampung Maintailang, Perumahan Kallang dan Kampung Batu 90,” ujar Raimi yang hairan kenapa paip asbestos masih digunakan di abad ke 21.

BANTU.....Raimi turut membantu Fatimah mengangkat air daripada parit yang dimasukkan ke dalam gelen untuk kegunaan harian.

ANGIN....Saini memegang meter air yang hanya mengeluarkan angin.

Bagaimanapun, tegas Raimi, peruntukan untuk mengganti paip asbestos berkenaan telah tersedia dan kini sedang menunggu proses perlantikan kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja penggantian paip asbestos dan kerja berkaitan dilaksanakan segera.

Raimi menegaskan, Tenom amat bertuah kerana Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah meluluskan peruntukan sejumlah RM61.4 juta untuk projek baru bekalan air bagi membolehkan seluruh Tenom mendapat bekalan air menjelang 2020.

“Saya berharap agar KKLW dapat melaksanakan segera projek bekalan air ini agar selepas ini tidak timbul lagi masalah bekalan air di Tenom; terutama memastikan semua penduduk menikmati bekalan air bersih, terutama di kawasan pinggir bandar dan kampung berdekatan,” kata Raimi.

Namun Raimi menegaskan, beliau agak terkilan dan memohon maaf daripada penduduk di kawasan kampung Enubai dan Saga Laut yang terpaksa menderita kerana menghadapi masalah teknikal sejak 11 bulan lalu apabila paip air yang menyeberangi Sungai Padas terputus dan baru dibaik pulih.

“Setakat ini tidak ada jaminan yang dapat diberikan Jabatan Air kerana paip berkenaan akan terputus pada bila-bila masa, sama ada ketika banjir atau apabila tekanan ditingkatkan,” ujar Raimi yang terkejut menyaksikan paip air bermain ‘lansaran’ (pelantar untuk tarian tradisi Murut) akibat merintangi arus deras menyeberangi Sungai Padas.

Raimi menggesa agar Jabatan Air mencari alternatif terbaik untuk memastikan paip daripada Kemabong yang merentasi Sungai Padas tidak dihanyutkan arus deras dengan membina jambatan gantung khas untuk paip berkenaan kerana tidak sanggup melihat penderitaan rakyat di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, ketika lawatan bersama Raimi ke Kampung Saga Laut, Sabahkini.net mendapati penduduk kampung terpaksa menggunakan air sungai dan parit yang tercemar untuk kegunaan harian kerana tidak mempunyai sumber lain.

Menurut seorang nenek kepada dua orang cucu, Fatimah, 65, beliau terpaksa mengangkut air daripada parit berdekatan jalanraya setelah memastikan parit berkenaan yang melalui pembetung agak bersih, sekadar untuk kegunaan harian.

“Untuk air minum dan masak memasak, kita dapat daripada bekalan air yang YB Raimi arahkan Jabatan Air hantar ke rumah-rumah,” kata Fatimah yang berbangga dengan lawatan mengejut Raimi yang turut membantu mengangkut gelenan air daripada parit berkenaan ke rumahnya di Kampung Saga Laut.

Fatimah turut mengesahkan sudah sebelas bulan tidak mendapat bekalan air bersih sekalipun mempunyai paip dan meter air di rumahnya.

LORI.... Hanya satu lori tangki digunakan untuk menghantar bekalan air bersih kepada penduduk kampung.

Manakala Ketua Cawangan UMNO Kampung Saga Laut, Saini Bakri, turut mengadu kepada Raimi bahawa walaupun Jabatan Air menyediakan lori tangki untuk menghantar bekalan air ke rumah-rumah.

“Satu lori saja mana cukup. Kadang-kadang kami minta hari ini, esok atau lusa baru dihantar. Akibatnya kami terpaksa beli air,” akui Saini yang merayu agar Jabatan Air menyelesaikan isu ini segera kerana mereka tidak sanggup lagi mengharungi keperitan hidup, terutama sekali menjelang Ramadhan pada minggu hadapan.

Menurut Saini, sebelum ini beliau membayar purata RM30 sebulan kepada Jabatan Air kerana bil air hanya dihantar tiga bulan sekali.

“Tetapi yang kami bayar sekarang ini hanya angin, bukan air. Bukan air yang kuat, tapi angin yang kuat tolak meter,” ujar Saini yang merayu agar Jabatan Air melupuskan bayaran bil ‘angin’ sehingga bekalan air benar-benar pulih.

LANSARAN....Paip air ini wajar dimasukkan dalam buku Guinness Book Of World Record kerana bermain lansaran akibat terjahan arus deras Sungai Padas.

Di akhir lawatan berkenaan, Raimi menjelaskan bahawa KKLW wajib memastikan tidak ada lagi keciciran berlaku dalam projek bekalan air luar bandar, terutama masalah paip asbestos yang diabaikan sejak lebih 20 tahun lalu dan masalah paip yang merentasi Sungai Padas.

“Perkara ini tidak sepatutnya terjadi di sebuah negara yang merdeka, apatah lagi di Malaysia yang kaya dengan air,” kata Raimi ketika diminta mengulas penderitaan penduduk kampung yang terpaksa menggunakan air parit dan kolam yang tercemar untuk kegunaan harian kerana Jabatan Air gagal mengatasi masalah paip yang ‘lemas dan hanyut’ di Sungai Padas.

No comments:

Post a Comment