Sunday 31 July 2011

MPS KENAKAN CAJ RM5 SEJAM?



HIJAU......Inilah tempat letak kereta yang berwana hijau dikenakan caj RM5.00 satu jam.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

TINDAKAN Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang mengenakan caj tempat letak kereta (Parking Fee Charges) RM5.00 sejam di petak garisan berwarna hijau yang diletakan di setiap sudut premis di hadapan bank-bank berkenaan di daerah Sandakan telah menimbulkan kemarahan di kalangan pengguna setempat.

Mantan Ahli Majlis Perbandaran Sandakan yang juga selaku Pengerusi Cawangan UMNO Jalan Panglima Adam, Kampung Bokara dan juga merupakan aktivis masyarakat Jafar Mustafah (gambar sisipan) menyelar sikap MPS yang keterlaluan mengenakan caj sedemikian sehingga membebankan rakyat yang berpendapatan rendah.

“Biasanya, kalau kita berususan dengan pihak bank, bukan sekejap kerana terpaksa menunggu lama sehingga 3 jam, melainkan menggunakan mesin ATM. Jadi jika kita letak kereta di petak hijau sudah pasti kita kena bayar RM15,” kata Jafar kepada Sabahkini.Net, kelmarin.

Yang menghairankan kata Jafar, sekalipun pilihanraya umum ke 13 sudah semakin hampir MPS terus melakukan tindakan provokatif yang menyakiti hati rakyat sehingga rakyat membenci kerajaan BN.

“Sebagai ahli UMNO yang setia kepada pucuk pimpinan merasa jijik dengan tindakan MPS yang sengaja mencetuskan kemarahan rakyat, khususnya warga Sandakan kerana seolah-olah menjadi alat pembangkang merancang untuk menumbangkan calon-calon BN kecundang pada pilihanraya umum kelak,” tambahnya Jafar.

Katanya lagi, sudahlah kawasan letak kereta di Sandakan tidak mencukupi, ditambah lagi dengan masalah baru iaitu menaikan kadar caj dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan risikonya kepada umum.

“Jangan marah saya jika semua calon BN tewas pada pilihanraya umum kelak gara-gara tindakan tidak popular MPS yang menyakiti hati rakyat. Saya minta Ketua Menteri campur tangan sebelum terlambat,” tegas Jafar yang bimbang kerana majoriti masyarakat Cina mula hilang keyakinan kepada BN.

No comments:

Post a Comment