Wednesday, 27 July 2011

LUC RAMPAS TANAH UNTUK GERAN KOMUNAL?





Saudara Pengarang,

SURAT terbuka ini saya tujukan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan Kabinet Negeri Sabah agar menarik balik keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Tanah (LUC) Daerah Kinabatangan yang membatalkan semua permohonan tanah (PT) terdahulu bagi memberi laluan kepada Geran Komunal.

Sebagai makluman YAB. Datuk Seri, berikut ini adalah kronologi proses permohonan kami ke atas tanah Skim Penempatan Tambisan.

Pada tahun 2004, sekumpulan 27 orang penduduk Kampung Sungai Nipah, Tambisan iaitu pemohon-pemohon yang telah diluluskan sebagai peserta dalam Skim Penempatan Tambisan, diketuai oleh Amir Hamza @Hamzah Bin Ali (NRIC: 421231-12-6109) telah memeterai satu Perjanjian Jualbeli dengan pihak kami yang diketuai Nordin Bin Ening (NRIC: 720818-12-5471) pada 23 Oktober, 2004.

Menerusi Perjanjian tersebut sebahagian kawasan Skim Tambisan seluas lebih kurang 640 ekar telah diserahkan oleh kumpulan yang diketuai oleh Amir Hamza @Hamzah Bin Ali dengan bayaran sebanyak RM27,000. Tindakan kami ini sekaligus telah menghalang kawasan tanah tersebut daripada jatuh ke tangan pembeli lain, khasnya pembeli di kalangan bukan Bumiputera.

Kemudian satu lagi kawasan tanah terbiar seluas lebih kurang 310 ekar dan termasuk dalam Skim yang sama juga telah dipohon dan diteroka kumpulan yang diketuai Abd Haman @Sakaran Bin Hj. Mohd Yassin bersama-sama 17 lagi pemohon lain melalui Surat Sokongan daripada Ketua Kampung Sungai Nipah, Kampung Tambisan serta disokong oleh Pemimpin-pemimpin tempatan di kawasan ini.

YAB Datuk Seri, saya bersama 63 pemohon telah membentuk beberapa kumpulan dengan seorang ketua masing-masing manakala kumpulan yang lain diketuai Abd Haman @Sakaran Bin Hj. Mohd Yassin bersama-sama 17 peserta yang semuanya terdiri 100% di kalangan penduduk Bumiputera dan seterusnya telah membahagi-bahagikan seluruh kawasan Skim ini kepada lot masing-masing dengan keluasan 15 ekar setiap peserta.

Pada hari ini, kami telahpun berjaya memajukan seluruh 950 ekar kawasan Skim ini dengan tanaman kelapa sawit yang kini telah berusia antara 4 hingga 7 tahun, termasuklah mendirikan rumah kediaman di lot masing-masing. Saya dan semua pemohon yang terlibat kini bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman di tanah yang dipohon dan di samping itu kami juga turut menyumbang kepada kerajaan melalui pembayaran cukai pendapatan.

Pada 2006, beberapa pegawai Jabatan Tanah & Ukur daerah Kinabatangan datang untuk membuat pemeriksaan serta pengesahan pembangunan ke atas seluruh kawasan tanah yang dipohon.

Pada 19 November 2008; semua pemohon yang terlibat telah mengemaskini data-data permohonan, mengumpul gambar-gambar tanaman serta struktur binaan rumah di lot masing-masing dan dihantar ke Pejabat Tanah & Ukur Daerah Kinabatangan.

Pada 07 Februari 2009; semua pemohon terlibat telah menyediakan satu lagi laporan lanjut data permohonan yang dikemaskini berserta gambar-gambar bukti pembangunan di atas tanah yang dipohon ini untuk diserahkan kepada Pengarah Tanah & Ukur, Kota Kinabalu.

Pada 12 Januari 2010; seramai 3 orang kakitangan yang diketuai oleh Juruteknik Ukur daripada Pejabat Tanah & Ukur daerah Kinabatangan telah menjalankan Pengukuran Ukur Keliling Skim Penempatan Tambisan; memeriksa pembangunan di setiap lot, mendapatkan data-data terkini setiap pemohon, termasuk mengambil gambar-gambar tanaman dan rumah-rumah yang telah didirikan oleh setiap pemohon.

Pada 24 Februari 2011, satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) Daerah Kinabatangan yang telah diadakan semula dan membuat keputusan ‘MEMBATALKAN SEMUA P.T’ yang sediada serta meluluskan cadangan pengeluaran Geran Komunal untuk kawasan Tambisan, Kinabatangan.

YAB. Datuk Seri yang kami kasihi, kami seluruh pemohon yang terlibat dengan ini ‘MEMBANTAH’ sekeras-kerasnya keputusan yang telah dibuat oleh Mesyuarat Khas pada 24 Februari 2011 kerana dibuat tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan pihak pemohon yang terlibat serta ‘Melanggar Hak Asasi Kami Yang 100% Terdiri Di Kalangan Penduduk Bumiputera’.

Justeru itu, kami memohon budi baik YAB Datuk Seri untuk ‘CAMPURTANGAN’ seterusnya ‘MENYIASAT’ perkara ini kerana tindakan yang dibuat oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pembangunan Tanah Daerah Kinabatangan ini bakal membawa kesan yang amat negatif ke atas kredibiliti kerajaan Barisan Nasional.

Perhatian serta tindakan oleh YAB Datuk Seri dalam perkara ini sangat dihargai dan kami dahulukan dengan ucapan jutaan terimakasih.

Sekian dan terimakasih.

Yang Benar,

FEBIAN BIN ATONG

Kg. Gemalapura

Peti Surat 31

91150 Tungku

LAHAD DATU

No comments:

Post a Comment