Thursday 28 July 2011

TOLERANSI AGAMA CUKUP TINGGI DI SABAH



Oleh : ROZIE JUMAT

TIMBALAN Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, merangkap Ahli Parlimen Malaysia (Pensiangan), Tan Sri Joseph Kurup menegaskan bahawa kebajikan penduduk yang beragama Islam di kawasan itu sentiasa diberi perhatian dan terjaga.

Beliau berkata demikian di Majlis Silaturahim bersama imam-imam, guru-guru KAFA di DUN Sook, Keningau.

“Sebagai wakil rakyat kita sentiasa beri perhatian kepada semua rakyat dan membantu, kita tidak terhad kepada satu pihak sahaja,” ujar Kurup yang memahami dan mempunyai sikap toleransi yang cukup tinggi kerana beliau juga mempunyai ramai keluarga yang beragama Islam.

Kata Kurup, beliau juga turut memberi sumbangan kepada rakyat yang ingin menunaikan fardu haji, serta kelengkapan serta keperluan surau untuk tujuan ibadah penganut agama Islam.

Di majlis yang turut dihadiri Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Kahirin Bador, Kurup meminta masyarakat Islam di kawasan DUN Sook agar tidak segan atau malu-malu memohon peruntukan keperluan masjid atau surau.

“Kita tidak mengabaikan sama sekali keperluan untuk rakyat menjalankan kepercayaan mereka,” kata Kurup.

Kurup memberitahu, bahawa beliau juga menyertai rakyat di kawasan Sook berbuka puasa setiap tahun .

“Kita juga menghargai dan menghormati saudara Islam kita dengan mengadakan Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya setiap tahun dan tradisi ini diteruskan,” kata Kurup yang juga Presiden PBRS.

Sementara itu Pengerusi Penganjur, Imam Wasli Saupin yang juga merupakan Pengerusi Imam-Imam Rawatib Sook menyatakan rasa terharu di atas majlis itu yang dihadiri sendiri oleh Kurup.

Di majlis itu Kurup turut memberikan kelulusan permohonan kelengkapan KAFA dan Imam.

“Kehadiran beliau (Kurup) di majlis silaturahim ini membuktikan bahawa beliau adalah seorang yang prihatin dan kita juga mendengar sendiri apa yang telah dilakukannya terhadap masyarakat Islam di kawasan ini. Pertemuan ini mendekatkan kami dengan pemimpin,” kata Imam Wasli.

Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO), Abdul Kunin Saili memberitahu keprihatinan wakil rakyat terhadap masyarakat Islam di kawasan itu juga boleh dilihat melalui beberapa buah tempat ibadat yang sedang dibina di kawasan itu.

“Salah satunya ialah pembinaan masjid Pekan Sook yang rancak dibuat pada masa ini,” kata Abdul Kunin.

No comments:

Post a Comment