Oleh: MOHD HASSIM ABDILLAH
"Penolakan ke atas permohonan pinjaman pelajaran Yayasan Sabah tidak sedikit pun mematahkan semangat saya untuk mendalami ilmu dalam bidang undang-undang kewangan antarabangsa di peringkat Sarjana," ujar Siti Fatimah binti Hj. Hamzah yang baru menerima jawapan dari Yayasan Sabah menolak permohonan beliau mendapatkan pinjaman pelajaran Yayasan Sabah.
Beliau yang ditemui oleh penulis menyatakan dengan tegas bahawa yang beliau pinjam ialah duit pembayar cukai, duit rakyat, bukannya duit UMNO atau mana-mana pemimpin BN.
“Saya meminjam dan bukannya minta tajaan percuma sebagaimana yang dilakukan oleh anak-anak pemimpin UMNO/BN yang mendapat biasiswa Kerajaan Negeri sehingga ke Australia dan United Kingdom. Saya pinjam dan saya akan bayar balik selepas tamat pengajian nanti,” ujar Siti Fatimah.
Siti Fatimah adalah antara beberapa orang pelajar yang kurang bernasib baik yang permohonan mereka telah ditolak, disebabkan tiada pertalian dengan mana-mana pemimpin UMNO/BN yang memegang tampuk kuasa di Negeri Sabah.
Beliau baru menamatkan Ijazah dalam Bachelor of Laws and Commerce dari MSU dan mendapat tawaran dari University of Manchester untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Undang-Undang Kewangan Antarabangsa untuk tempoh 1 tahun.
"Insyaallah, jika UMNO/BN Sabah tumbang dalam PRU ke-13 ini, rakyat Sabah akan mengetahui juga siapa dari kalangan anak-anak UMNO/BN yang telah diberikan tajaan dan biasiswa Yayasan Sabah dan Kerajaan Negeri,” kata Siti Fatimah yang menyatakan walaupun mereka tidak sewajarnya diberikan peluang tersebut kerana bapa mereka sudah pun dibasahi dengan komisyen dan projek bernilai ratusan juta ringgit.
No comments:
Post a Comment