Oleh : MOHD FARHAN DARWIS
KUALA LUMPUR : Pengamal
aktiviti paranormal, Syed Abdullah Hussein Al-Attas telah ditahan pihak polis
malam tadi atas penyiaran artikel yang didakwa mengandungi unsur hasutan,
provokasi, dan mengaibkan kerabat Diraja Johor di dalam blognya.
Beliau yang lebih dikenali
sebagai Uncle Seekers telah ditahan kira-kira jam 9.45 malam tadi di Tol
Senawang, Negeri Sembilan dan telah pun di bawa ke Nusajaya, di Johor.
Dipetik Sinar Harian,
bapanya, Syed Hussein Al-Attas berkata, beliau hanya difahamkan oleh orang
ramai anaknya itu telah ditahan polis dan masih belum menerima sebarang
pengesahan.
“Saya difahamkan dia ditahan
malam tadi. Orang beritahu saya dia ditahan. Saya belum dapat pengesahan. Dia
pun belum hubungi saya,” kata Syed Hussein atau lebih dikenali dengan gelaran
Pak Habib.
Timbalan Ketua Polis
Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Mohd Akhir Ishak telah
mengesahkan tangkapan itu.
Turut ditahan bersama beliau
adalah seorang perempuan yang dikenali Siti Nadhirah Mohd Zain berusia 26
tahun.
“Polis menerima tujuh
laporan polis ke atas pengendali laman blog itu sejak 13 Jun lalu. Susulan itu,
dua pasukan polis telah melakukan tangkapan ke atas beliau malam tadi.
“Kedua-duanya ditangkap
untuk siasatan lanjut bersangkut kes di bawah Seksyen 8(1) (d) Akta Rahsia
Rasmi 1972,” katanya pada pemberita di Johor Bharu, tengah hari tadi.
Mohd Akhir berkata, jika
disabit kesalahan mereka boleh dipenjara setahun dan tidak melebihi tujuh
tahun.
Sebelum ini, memetik laporan
media, lebih 30 laporan polis telah dibuat terhadap Uncle Seekers kerana
menyiarkan artikel di laman blog miliknya, uncleseekers.blogspot.com yang
dikatakan mengaibkan Sultan, dan kerabat Diraja Johor. (TMI)
No comments:
Post a Comment