Saudara Pengarang,
SEBAGAI rakyat Sabah, kita
telah diperintah oleh kerajaan BN selama lebih 15 tahun, kita sudah rasa cukup
untuk BN. Selama ini Sabah bagaikan lubuk emas bagi pemimpin Kuala Lumpur yang
menganggap Sabah sebagai 'Tanah Jajahan' mereka.
Dengan memegang 'remote
control' mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk menentukan siapakah Ketua
Menteri dan Wakil Rakyat serta Pengundi. Oleh itu marilah kita bersatu hati
memberi peluang kepada pemimpin kita yang berani melawan arus seperti Datuk
Jeffery Kitingan atau Datuk Yong Teck Lee atau Haji Ansari Abdullah atau Haji Hamzah
Adullah atau Jimmy Wong dan sebagainya berjuang untuk Sabah dan bukannya
menjadi 'Pak Turut' seperti pemimpin BN Sabah selama ini.
Peluang kita untuk mengubah
kerajaan adalah sangat cerah kerana 65 % rakyat Sabah mahukan perubahan. Namun
jika pembangkang Sabah masih tidak dapat capai kata sepakat sebelum hari
penamaan calon, alamatnya kita akan terlepas peluang emas untuk tumbangkan BN
di bumi Sabah kali ini.
Oleh sebab itu, marilah kita
berharap agar semua pemimpin pembangkang dapat duduk berbincang untuk mencapai
satu gagasan bersama untuk menghadapi BN.
Kita mencadangkan, jika mahu
tumbangkan BN, satu gagasan baru pembangkang mesti dibentuk atas nama Gagasan
TUKAR, yang mana akan di anggotai PR, STAR, SAPP dan kumpulan Perikatan
Perubahan NGO.
Oleh sebab itu semua
pemimpin ini mesti wujudkan 'Win-Win' untuk semua, mungkin di 60 kawasan DUN
Sabah ini nanti adalah ditandingi satu lawan satu menghadapi BN.
Kita berharap agar PKR dan PAS
akan tandingi semua kawasan Umno; sementara itu Star hadapi PBS, PBRS, UPKO;
manakala SAPP di semua kawasan Cina, mungkin juga sebahagian kawasan campuran
kaum yang seimbang; sekurang-kurangnya SAPP ada kelebihan sebagai Parti
Berbilang Kaum.
Soal siapa Ketua Gagasan
Tukar ini, kita rasakan Datuk Dr Jeffery kitingan, wajar mengetuai Gagasan
Tukar ini. Malah Gagasan ini juga mesti mengeluarkan satu buku Gagasan Tukar,
seperti buku 'Jingga'.
Akhir sekali marilah kita
semua rakyat Sabah yang telah lama menderita agar bangun dari mimpi panjang
untuk menukar Kerajaan Boneka BN Sabah.
Yang Benar, Salam Hormat,
MOHD DANIAL ABDULLAH
No comments:
Post a Comment