Oleh : AHMAD FADLI KC
Pengarang terkenal Faisal
Tehrani menggesa pihak berkuasa menangani novel barunya Perempuan Nan Bercinta
secara akademik dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk
mengharamkannya.
"Pegawai agama perlu
berada dalam ruang dia sendiri, saya buat kerja saya sendiri. Kalau sesiapa nak
jawab (buku saya), jawab dalam bentuk akademik, jangan guna kuasa
(mereka)," katanya tegas.
Malaysiakini semalam
melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbang untuk
mengharamkan novel terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) yang
dilancarkan Perdana Menteri pada 3 Julai lalu.
Penolong Pengarah
(Penyelidikan I) Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan (Cawangan Akidah) Jakim
Mohd Aizam Masod ketika ditanya mengakui perkara itu kerana dikaitkan dengan
unsur-unsur Syiah.
Mengulas tuduhan itu, Faisal
- felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - menjelaskan novel
itu memang ditulis dengan tona berbaur Syiah yang agak ketara kerana mazhab itu
lapangan kajiannya selama ini.
"Orang lupa sebahagian
daripada saya adalah ahli akademik, sebahagian (daripada) novel itu adalah
dapatan dari kajian saya," katanya.
Malah katanya lagi, terdapat
sebilangan sarjana Melayu Islam yang menggagaskan Syiah untuk ditekuni sebagai
satu bentuk falsafah untuk memperkaya tasawur atau pandangan dunia Islam di
Malaysia.
Kavyan seru Sasterawan
Negara tampil
Antaranya Syed Naquib
Alattas dalam bukunya The Concept of Education, makalah Yusof Zaki Yaaqub
(1978), dan Dr Burhanuddin al-Helmy dalam Simposium Tarikat dan Tasawuf, kata
Faisal.
"Nama-nama yang saya
sebutkan adalah mereka yang lakukan kajian ke atas Syiah sebagai falsafah untuk
diserapkan dalam dunia Sunni untuk luaskan tasawur kita," tambahnya lagi.
Pertimbangan Jakim itu juga,
kata Faisal memberikan nama buruk kepada Datuk Seri Najib Razak yang
melancarkan buku itu dan berusaha keras memberikan peruntukan untuk memajukan
kesusasteraan Melayu selama.
"Tiba-tiba ada golongan
ini, yang melakukan tindakan berlawanan dengan usaha-usaha beliau selama
ini," kata penerima Anugerah Seni Negara itu.
Sementara itu, aktivis
Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar turut menerima keahlian Faisal dalam
kumpulan itu selaku ahli kehormat petang semalam di Pesta Buku Selangor di Shah
Alam.
Mengulas kontroversi buku
terbaru Faisal, Uthaya menggesa Sasterawan Negara yang ada sekarang tampil
menyatakan sikap berkenaan perkara itu.
Beliau turut menggesa
kumpulan penulis Melayu yang bersuara lantang menghalang pemurnian novel
Interlok sebelum ini bangkit membela Faisal.
"Kenapa tidak, mereka
yang pertahan maruah penulis Melayu sama seperti yang pertahan Interlok dahulu
(membela Faisal)," katanya. (MKINI)
No comments:
Post a Comment