PERDANA Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata kerajaan telah memutuskan semua rakyat Malaysia dan
pelajar di Syria dibawa pulang ke tanah air serta merta berikutan pergolakan
yang semakin meruncing di negara Timur Tengah berkenaan.
Beliau juga sudah memberikan
kebenaran untuk menutup Kedutaan Malaysia di Syria serta merta dan mengarahkan
penjawat awam termasuk Duta Besar Malaysia kembali ke tanah air atas faktor
keselamatan.
"Saya menerima
panggilan dari Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman selepas berbuka tadi yang
meminta izin untuk membawa pulang rakyat dan pelajar kita di Syria berikutan
pergolakan yang semakin meruncing.
"Sehubungan itu saya
fikir kedutaan kita wajar ditutup serta merta berikutan perkembangan terkini
yang berlaku di sana," katanya ketika berucap selepas menunaikan solat
Isyak dan Tarawih di Masjid Pulau Serai bersama kira-kira 300 jemaah di Pekan
malam tadi.
Turut hadir isterinya Datin
Seri Rosmah Mansor dan Speaker Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Wan Mohamed
Razali Wan Mahussin.
Anifah dalam satu kenyataan
hari ini berkata kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk memulakan
proses pemindahan pelajar Malaysia dari Syria dengan segera.
Pemindahan itu diselaraskan
oleh Kementerian Luar Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bersama Kedutaan
Besar Malaysia di Damsyik.
Anifah berkata Duta Besar
Malaysia dan empat orang pegawai kedutaan akan turut diminta pulang buat
sementara waktu selepas proses pemindahan pelajar selesai dilaksanakan.
Kesemua 138 rakyat Malaysia
yang terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat yang berdaftar dengan
Kedutaan Malaysia itu sehingga kini dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Kementerian Luar juga
menggesa kesemua rakyat Malaysia yang masih berada di Syria agar pulang ke
tanah air atau meninggalkan negara berkenaan dengan segera, dan bagi mereka
yang berhasrat melawat Syria, dinasihatkan menangguhkan lawatan hingga situasi
keselamatan kembali pulih. (Bernama)
No comments:
Post a Comment