SETIAUSAHA agung DAP Lim Gua
Eng menegaskan bahawa parti itu tidak mempunyai hubungan dengan elemen komunis,
tidak seperti Umno yang menjalankan usaha seperti itu.
Katanya, tindakan sebaliknya
perlu dijalankan ke atas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kerana menubuhkan
sekretariat tetap dengan Liga Pemuda Komunis China.
"Bukankah sepatutnya
Khairy Jamaluddin ditangkap dan didakwa kerana ingin memulihkan komunisme
dengan menubuhkan sekretariat tetap pada 12 Oktober 2009 yang bertujuan untuk
mengeratkan hubungan antara Pemuda Barisan Nasional dan Liga Pemuda Komunis
China (CYL)?
"Ketua Pemuda BN Khairy
Jamaluddin telah berkata bahawa sekretariat tetap itu akan membolehkan
program-program dua hala yang berterusan untuk mengeratkan hubungan antara dua
entiti tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Berbanding dengan
dakwaan susupan komunis ke dalam DAP, sekretariat tetap antara CYL dan Pemuda
Umno adalah hubungan langsung yang dilakukan secara disedari dengan persetujuan
penuh Khairy Jamaluddin," katanya.
Beliau mengulas dakwaan yang
ditimbulkan oleh seorang pegawai Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Mohd
Sofian Md Makinuddin bahawa pengganas Jemaah Islamiah dan komunis masing-masing
telah menyusup ke dalam PAS dan DAP.
Lim berkata Mohd Sofian dan
pegawai tinggi Cawangan Khas yang lain perlu meletak jawatan kerana gagal
bertindak ke atas Khairy kerana membuat hubungan dengan CYL dan bukannya
"mencari bayang-bayang komunis" dalam DAP.
Malah, Cawangan Khas PDRM
juga tidak menentang tindakan Malaysia membuat hubungan diplomatik dengan China
dan rejim Marxis seperti Cuba.
Katanya lagi, tiada pemimpin
DAP yang ditahan bawah ISA sebelum ini yang dikaitkan denga komunis.
Menteri
perlu berani
"Adalah jelas bahawa
cubaan untuk mengaitkan DAP dengan komunis ini adalah satu muslihat politik
pilihan raya untuk menakutkan orang Melayu untuk menyokong Umno dan BN,"
katanya.
Tambahnya, Cawangan Khas
sepatutnya telah mengubungi pemimpin tertinggi DAP untuk membuktikan bukti
bahawa komunis telah menyusup ke dalam parti itu.
"Dengan memilih untuk
membuat pengumuman awam tanpa terlebih dahulu memaklumkan pucuk pimpinan DAP,
Mohd Sofian dan Cawangan Khas berkelakuan tidak profesional dan tidak
bertanggungjawab.
"Ini tidak lain dan
tidak bukan adalah tindakan oportunis politik oleh Cawangan Khas untuk membuat
serangan tidak berasas ke atas DAP tanpa menunjukkan bukti," katanya.
Tambahnya lagi, Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein perlu menunjukkan keberanian
dengan mengarahkan Cawangan Khas menunjukkan bukti dakwaan berkenaan.
"Jika Hishamuddin gagal
melakukan demikian, maka sebenarnya Cawangan Khas yang sudah disusup oleh
Umno," katanya.
No comments:
Post a Comment