PUTRAJAYA : Setiausaha Agung
UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahu pemimpin pakatan pembangkang
khususnya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggotakan janji untuk
bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan peristiwa 13
Mei 1969 tidak berulang pada masa akan datang.
Beliau berkata BN tidak mahu
sejarah hitam pada 1969 itu berulang dan mengugat kestabilan, keamanan dan
ketenteraman awam yang dinikmati sekarang.
"Saya berharap mereka
(pakatan pembangkang) akan lakukan seperti apa yang mereka cakap. Jangan cakap
tak serupa bikin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program
berbuka puasa beramai-ramai Maidatul Rahman anjuran UMNO Bahagian Putrajaya di
sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian
apabila diminta mengulas kenyataan Lim yang juga Anggota Parlimen Ipoh Timur
semalam bahawa pakatan pembangkang sedia memberi kerjasama penuh dengan BN
untuk mengelakkan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 berulang.
Tengku Adnan mengingatkan
semua pemimpin dan penyokong parti agar tidak keluar secara beramai-ramai untuk
meraikan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang kerana ia akan
mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong kedua-dua
pihak.
Beliau yang tinggal di
Kampung Baru ketika kejadian 1969 itu berkata kejadian rusuhan kaum pada ketika
itu adalah berpunca daripada segelintir pemimpin dan penyokong pembangkang yang
keluar berarak beramai-ramai untuk meraikan kemenangan di beberapa kerusi
parlimen.
"Sesiapa yang menang,
perlu bersabar, tenang dan tidak terlalu teruja. Apabila (dalam keadaan)
terlalu teruja, ia akan naik ke kepala dan anda akan cenderung melakukan
tindakan yang tidak elok. Akhirnya ia akan menjejaskan masyarakat berbilang
kaum," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment