Oleh : AHMAD FUAD YAHYA
YOGYAKARTA : Malaysia
bersedia mengambil peranan utama dalam projek pengharmonian sistem pemindahan
jam kredit bagi memudahkan pengiktirafan kelayakan akademik dan pembelajaran
dan pergerakan pelajar di rantau Asean dan sebaliknya.
Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia berminat untuk bekerja dengan negara
anggota sidang kemuncak Asia Timur dan institusi serantau yang lain dalam usaha
itu.
"Kami ingin memulakan
projek itu dengan mana-mana negara anggota dan institusi yang berminat,"
katanya pada mesyuarat pertama sidang kemuncak Asia Timur (EAS) peringkat
Menteri-menteri Pelajaran di sini, Khamis.
Muhyiddin berkata walaupun
banyak usaha yang perlu dilakukan dalam bidang pemindahan jam kredit di
peringkat Asean, inisiatif bersepadu diperlukan bagi memudahkan dan mempercepat
pengharmonian di peringkat serantau.
Katanya ini kerana
perkembangan kerangka kelayakan dalaman dan sistem jaminan kualiti di
negara-negara yang berbeza masih di pelbagai peringkat perjalanan ke arah
pengharmonian.
"Sehubungan ini, kita
perlu membangunkan satu rangka kerja induk berhubung pemindahan jam kredit
untuk menyokong perkembangan pergerakan pelajar di negara-negara anggota dan
rakan dialog," katanya.
Muhyiddin, yang juga Menteri
Pelajaran berada di sini untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran
Asean, Mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran Asean 3+1 dan Mesyuarat
Menteri-menteri Pelajaran EAS, yang bermula semalam. Mesyuarat-mesyuarat itu
berakhir hari ini.
Timbalan Perdana Menteri
berkata bilangan belajar yang ingin melanjutkan pengajian dan pengalaman
melalui pelajaran di seberang laut menggunakan pelbagai jenis susunan termasuk
sistem pemindahan jam kredit semakin meningkat.
"Kita mengambil
perhatian bahawa sistem pemindahan jam kredit serantau menyokong pengharmonian
dalam sistem pendidikan tinggi nasional dan menghapuskan halangan yang tidak
perlu bagi pergerakan pelajar.
"Kita juga mengambil
perhatian bahawa hari ini pengiktirafan kredit dan kelayakan bagi pergerakan
pelajar dipermudahkan lagi dan ditingkatkan di mana rangka kerja kelayakan,
sistem jaminan kualiti dan dasar yang menyokong sudah ada," katanya.
Muhyiddin, yang sedang dalam
rangka lawatan enam hari ke Indonesia, kemudiannya berlepas ke Bali di mana
antara lain beliau dijadual bertemu Gabenor Bali I Made Mangku Pastika dan juga
pelajar Malaysia yang sedang menuntut di pulau itu.
Sebelum itu, dalam
lawatannya sejak Selasa, Timbalan Perdana Menteri mengadakan perbincangan
dengan Naib Presiden Indonesia Boediono dalam usaha meningkatkan kerjasama dan
hubungan dua hala dan menyelesaikan isu-sisu dua hala yang kerap menimbulkan
pergeseran di peringkat rakyat dengan rakyat kedua buah negara. (Bernama)
No comments:
Post a Comment