PUTRAJAYA : Kerajaan
Malaysia telah mengambil keputusan untuk memulakan proses pemindahan pelajar
Malaysia dari Syria pulang ke tanah air dengan segera memandangkan pergolakan
yang semakin meruncing di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri
Anifah Aman berkata pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi
keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden tidak
diingini.
Pemindahan ini diselaraskan
oleh Kementerian Luar Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bersama Kedutaan
Besar Malaysia di Damsyik.
Sehubungan itu, Kementerian
Luar memohon kerjasama ibu bapa/penjaga untuk menasihati anak-anak mereka yang
masih berada di Syria untuk pulang ke Malaysia.
Duta Besar Malaysia dan
empat orang pegawai kedutaan akan turut dipanggil pulang buat sementara waktu
selepas proses pemindahan pelajar selesai dilaksanakan, kata Anifah dalam
kenyataan di sini.
Sehingga kini, kesemua 138
rakyat Malaysia yang terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat yang
berdaftar dengan Kedutaan Malaysia itu berada dalam keadaan selamat.
Kementerian sekali lagi
menggesa kesemua rakyat Malaysia yang masih berada di Syria agar pulang ke
tanah air atau meninggalkan negara berkenaan dengan segera, dan bagi mereka
yang berhasrat melawat Syria, dinasihatkan menangguhkan lawatan hingga situasi
keselamatan kembali pulih.
Kementerian telah membuka
Bilik Operasi dan orang awam boleh menghubungi talian 03 - 8887 4570 untuk
sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini. (Bernama)
No comments:
Post a Comment