KUCHING : Mayat seorang lagi
penumpang yang hilang, jurutera Sebiro Holdings Peter Ato Mayau, antara empat
orang yang menaiki Eurocopter EC 120 yang terhempas dekat muara Lingga, Sri
Aman semalam ditemui tengah hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis
Sarawak SAC Datuk Law Hong Soon berkata mayat Ato dijumpai dihanyutkan di
pantai Kampung Tebelu, Sebuyau oleh orang-orang kampong yang membantu operasi
mencari dan menyelamat pada kira-kira 2 petang.
Mayatnya dihantar ke
hospital terdekat di Simunjan untuk bedah siasat, kata Law kepada Bernama di
sini.
Ato, 53, yang berkhidmat
sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, disebut-sebut akan
bertanding di kawasan parlimen Mambong dalam pilihan raya umum akan datang.
Terdahulu, Law mengesahkan
mayat seorang lagi penumpang Juru Ukur, Siti Khuzaimah Anuar, 27, yang ditemui
nelayan tempatan pagi ini juga dihantar ke Simunjan untuk bedah siasat.
Law berkata gerakan tiga
pihak mencari dan menyelamat yang diselaraskan dari udara, darat dan laut ditingkatkan
bagi mencari baki seorang lagi penumpang helikopter itu, arkitek Henry Lau Tee
Yong, 42.
Jabatan Penerbangan Awam
mengerahkan kakitangannya ke kawasan kemalangan, kira-kira 150km dari sini bagi
menyiasat punca nahas, manakala siasatan awal mendapati helikopter milik Sebiro
itu tenggelam sebaik sahaja terhempas di perairan, katanya.
Nelayan menyelamatkan
juruterbang pesawat malang tersebut, Rico Steger, 35, berasal dari Jerman, yang
berenang selama empat jam dalam arus deras selepas nahas berlaku. (Bernama)
No comments:
Post a Comment