POLIS menahan 93 lelaki
berusia antara 16 dan 42 tahun dari dua kumpulan kongsi gelap ketika cuba
mencetuskan pergaduhan di Persiaran Gurney di George Town tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Pulau
Pinang, SAC Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata bertindak atas maklumat dan
risikan, sepasukan polis membuat dua serbuan serentak di dua lokasi sekitar
Persiaran Gurney pada pukul 12.30 malam.
Beliau berkata dua kumpulan
samseng yang dikenali sebagai '04' dan '24' itu dipercayai baru selesai
berunding untuk berebut kawasan dan akan bertempur.
"Sebanyak 70 lelaki
yang ditahan terdiri dari geng 04 dan selebihnya adalah ahli kumpulan 24 dan
polis percaya beberapa orang lagi sempat melarikan diri setelah mengetahui
kehadiran polis," katanya kepada pemberita kelmarin.
Abdul Rahim berkata, polis
yakin penangkapan anggota kongsi gelap itu dipercayai dapat menyelesaikan 25
kes jenayah termasuk peras ugut, pecah rumah dan samun berkumpulan sejak
Januari lepas.
Dalam serbuan itu, polis
merampas pelbagai senjata seperti pedang samurai, parang, pisau pemotong
kertas, kayu pemukul besbol dan buku lima daripada suspek.
Beliau berkata hasil ujian
saringan air kencing mendapati 43 daripada suspek positif dadah dan mereka
ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Abdul Rahim berkata, orang
ramai yang pernah menjadi mangsa kumpulan terbabit diminta membuat laporan di
balai polis berdekatan bagi membantu siasatan dan proses pengecaman. (Bernama)
No comments:
Post a Comment