Oleh : AMIN ISKANDAR
KUALA LUMPUR : Pelakon dan
penyajak terkenal, Pyanhabib Rahman hari ini membidas kenyataan Abby Abadi yang
mengatakan hanya akan berkarya selepas Barisan Nasional (BN) ditumbangkan
kerana menurutnya, kerja seniman atau artis adalah berkarya tanpa perlu menjadi
orang kerajaan atau pembangkang.
Pyanhabib yang membintangi
filem 'Kembara Seniman Jalanan’ arahan Nasir Jani pada tahun 1980-an itu juga
menyoal jika PAS tidak memenangi pilihan raya umum (PRU) 13, apakah Abby akan
menunggu sehingga pilihan raya seterusnya.
“Kerja seniman adalah
berkarya. Anda tidak perlu jadi orang kerajaan atau pembangkang sebagai lesen
untuk berkarya.
“Jika pihak yang anda sokong
masih kalah, apakah anda akan tunggu musim pilihan raya seterusnya hingga pihak
yang anda sokong menang dan anda dapat berkarya?” kata Pyanhabib kepada The
Malaysian Insider.
Dalam temuramah bersama The
Malaysian Insider semalam, Abby Abadi berkata, dunia seni yang Islamik hanya
akan wujud selepas PAS mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Sementara itu, penyanyi Folk
Meor Yusof Aziddin merasakan bahawa Abby Abadi sedang berada dalam keadaan
‘culture shock’ atau kejutan budaya kerana baru beralih arah.
“Abby ini bagi saya rasa dia
masih ‘terkejut’ sebab baru beralih musim. Kebanyakan artis yang berhijrah dari
parti kerajaan kepada pembangkang mereka baru merasakan suasana baru.
“Itu bagi saya hanya faktor
musim, Islam adalah agama untuk semua. PAS sembahyang 5 kali sehari, Umno pun
begitu juga dan bagi saya tak perlu berhijrah ke mana-mana pun kalau setakat
nak jadi seorang yang Islamik,” kata Meor.
Tambah penyanyi Folk yang
telah menerbitkan sepuluh buah album secara independen itu, kenyataan Abby
memperlihatkan yang pelakon tersebut masih lagi dalam keadaan belum matang.
“Jadi bila masuk ke suasana
yang baru rasa seronok itu ada, mungkin berlebihan. Jadi kenyataan (Abby) yang
keluar pun kenyataan yang pra-matang, saya setuju dengan pendapat Zunar,”
katanya lagi.
Sementara itu, kartunis
Ronasina atau nama sebenarnya Mohd Affandi Ramli merasakan Abby Abadi terkeliru
diantara Islam dan Arab.
“Islam dan Arab adalah dua
perkara berbeza. Islam sesuai untuk apa juga bangsa, tidak perlu menjadi Arab
atau dalam konteks seni Islamik.
“Nusrat Fateh Ali Khan
menghasilkan karya seni kerohaniaan melalui ‘qawalli’ kerana ia dekat dengan masyarakatnya.
“Begitu juga dengan Sunan
Kalijaga yang menyerapkan Islam di dalam seni wayang kulit dan permainan
kanak-kanakyang sebati di dalam masyarakat Jawa – Hindu pada ketika itu,” kata
Ronasina lagi.
No comments:
Post a Comment