Oleh : ABDUL RAHIM SABRI
MESYUARAT jawatankuasa PAS
kawasan Pendang yang memutuskan untuk menawarkan kepada Timbalan Presiden PAS,
Mohamad Sabu untuk bertanding kerusi Parlimen berkenaan dalam pilihan raya umum
akan datang tidak disenangi pemimpin tertentu di negeri itu.
Bagaimanapun, menurut
sumber-sumber yang rapat dengan PAS Pendang, mereka gagal memujuk PAS kawasan
itu supaya menukarkan keputusan tersebut, dengan mengekalkan penyandangnya Dr
Hayati Othman, yang dicalonkan kawasan tersebut untuk bertanding DUN Tokai.
Sumber yang rapat dengan PAS
kawasan Pendang berkata, Dr Hayati diuar-uarkan sebagai calon Menteri Besar jika
Pakatan Rakyat mengekalkan pentadbirannya di Kedah.
Menurut sumber itu lagi,
mereka juga mahu DUN Tokai kekal untuk Exco negeri, Datuk Mohamad Taulan Rasul
yang juga yang dipertua PAS kawasan Pendang. Desas-desus sebelum ini menyatakan
Mohamad Taulan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum.
Sumber PAS Pendang pula
berkata keputusan memilih Mohamad bertanding di Pendang disokong oleh majoriti daripada
157 cawangan dalam kawasan tersebut. Kerusi Parlimen Pendang pernah diwakili
mantan presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
Bagaimanapun, sumber PAS
Pendang itu mendakwa usaha untuk 'menggagalkan' peluang Mohamad Sabu bertanding
di kerusi Parlimen Pendang itu dikatakan 'terhenti' apabila PAS kawasan
tersebut sekali lagi memutuskan dengan menegaskan mereka tetap dengan keputusan
memilih Timbalan Presiden PAS tersebut.
Menurut sumber itu lagi,
perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan susulan
wujudnya satu 'surat' yang didakwanya memohon kepimpinan PAS kawasan bersetuju
bagi mengekalkan Dr Hayati dan Mohamad Taulan untuk pertimbangan Pusat.
Bagaimanapun, sumber
berkenaan berkata pihaknya enggan memanjangkan isu berhubung kandungan surat
tersebut, apatah lagi ia dilakukan tanpa merujuk kepada kawasan terlebih
dahulu.
"Kami tak ambil berat
pun. Kami tak mahu timbulkan (isu) pasal surat ini. Kita masih berpegang dengan
keputusan kita. Dengan surat ini (pun), tidak tergugat keputusan asal
kami," katanya.
Malah, sumber turut
menjelaskan bahawa kawasan itu tidak mengetahui pihak yang bertanggungjawab
menyediakan surat itu.
Sumber yang rapat dengan PAS
Pendang pula mendakwa, usaha golongan terbabit untuk mencantas Mohamad - selain
menimbulkan banyak persoalan - turut dikaitkan oleh pihak-pihak tertentu dalam
PAS negeri dengan peranan yang dimainkan oleh Jabatan Pilihan Raya Negeri
(JPN).
Bagaimanapun, pemimpin PAS
Kedah yang tidak mahu namanya disebut pula enggan mengulas lanjut berhubung isu
tersebut, sebaliknya menegaskan kepimpinan PAS Kedah 'tidak menolak' Mohamad.
"PAS Kedah tak menolak
Abang Mat," katanya ketika menghubungi Malaysiakini, Jumaat lalu.
Malaysiakini juga dimaklumkan
ada di kalangan penyokong Mohamad pula tidak senang kerana mendakwa JPN sedang
rancak mengatur senarai calon PAS yang bakal bertanding di negeri itu dalam
pilihan raya umum akan datang.
Menurut mereka, bidang tugas
JPN memang berkaitan dengan pengurusan jentera pilihan raya tetapi bukan hingga
ke peringkat menentukan calon, kerana itu adalah tugas badan perhubungan
negeri.
Bagaimanapun, Pengarah
Jabatan Pilihan Raya Negeri Senator Mohd Yusof Husin enggan mengulas dakwaan
bahawa badan itu mencantas Mohamad dan mengatur calon untuk bertanding di
negeri itu.
Mengulas berhubung prestasi
Dr Hayati di parlimen itu, Mohd Yusof berkata beliau "tidak mempunyai
apa-apa masalah" dengan gerak kerja ahli perubatan itu.
"Calon parlimen yang
ada sekarang ini adalah calon yang terbaik. Bagi saya dia tidak ada apa-apa
masalah. Beliau menjalankan tugas dengan cemerlang," katanya.
Mengenai faktor penolakan
Mohamad Sabu, sumber yang rapat dengan PAS Pendang mendakwa ia ada kaitan
dengan usaha mengekang 'pengaruh' Mohamad 'berkembang', khususnya di Kedah,
lebih-lebih lagi di kawasan itu yang dianggap "berpendirian bebas dan
tidak boleh dipengaruhi mana-mana pihak".
Malah, dakwa sumber itu,
kebimbangan pengaruh Syiah yang dikaitkan dengan Mohamad turut menjadi sebab
mengapa beliau ditolak memandangkan terdapat tokoh agamawan PAS yang dikaitkan
dengan fahaman itu, turut menetap di Pendang.
Ada juga pihak, kata
sumber-sumber tersebut, yang turut mengaitkan penyokong Menteri Besar Kedah,
Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu penolakan Mohamad itu kerana sebelum
ini, Mohamad merupakan antara pemimpin PAS yang bertegas mahu Azizan berundur.
Mengulas berhubung usaha
tersebut, Mohamad memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan kepimpinan PAS
pusat masih belum memuktamadkan kerusi mana yang bakal ditandinginya.
"Saya pun belum buat
pendirian untuk bertanding di mana... (Atau) mungkin juga saya akan bertanding
di Pekan," katanya berseloroh sambil menganggap usaha itu sebagai perkara 'biasa'
dalam politik.
No comments:
Post a Comment