Oleh : S.M MOHAMED IDRIS
SALURAN Televisyen Al Hijrah
merupakan salah satu saluran yang mempunyai ramai bilangan penontonnya. Sikap,
pemahaman, pandangan dan tindakan mereka yang menonton rancangan televisyen itu
akan dipengaruhi apa yang mereka tonton.
Oleh sebab itu, sebagai
pengendali saluran Islam, anda mempunyai tanggungjawab yang besar untuk
melaksanakan penelitian yang rapi dalam penyampaian mesej melalui saluran
televisyen kepada penonton agar ia tidak melanggar ajaran al Quran yang
menuntut kebaikan dan melarang kemungkaran.
Al Hijrah, dalam kenyataan
misi dan visinya, telah berjanji untuk menjadi stesen penyiar dengan misi untuk
mendidik, menghibur dan menyatukan ummah melalui siaran yang berkualiti dan
kreatif berdasarkan ajaran Islam yang sesuai dengan masyarakat tempatan dan
antarabangsa.
Memandangkan misi yang suci
ini, kami amat terkejut apabila mendapati bahawa TV Al Hijrah menyiarkan suatu
diskusi panel di mana ahli panel yang dianggap sebagai sarjana Islam membuat
tuduhan tidak berasas terhadap Syiah yang hanya akan menimbulkan perpecahan dan
kebencian dalam kalangan umat Islam.
Mereka menuduh Syiah
berkomplot bersama Yahudi, menganggap Islam Sunni sebagai anjing, mengamalkan penipuan,
dan tuduhan lain yang mengapi-apikan yang boleh menimbulkan kebencian Islam
Sunni terhadap saudara Syiah mereka.
Kenyataan provokasi seperti
itu jelas melanggar perintah Allah swt: Berpegang teguhlah dengan tali Allah
dan janganlah kamu berpecah belah antara kamu… [Surah Al Imran 3:103].
Kutuk
Syiah
Siaran TV yang mengutuk
Syiah menjejaskan inisiatif yang diambil untuk menggalakkan pemahaman yang
lebih luas antara mereka dan kita golongan Sunni dalam usaha untuk menguatkan
perpaduan Islam selaras dengan pengajaran al Quran.
Pada Julai 2005, berdasarkan
fatwa yang dikeluarkan oleh 24 ulama’ kanan (termasuklah Sheikh Al Azhar,
Ayatollah Sistani dan Sheikh
Qaradawi), Raja Abdullah II
dari Jordan telah menganjurkan satu persidangan Islam antarabangsa yang
dihadiri oleh 200 sarjana Islam terkemuka dunia dari 50 negara yang telah
mengeluarkan fatwa berikut:
• Sesiapa sahaja yang patuh
kepada salah satu daripada empat Usuluddin Islam mazhab Sunni (Hanafi, Maliki,
Shafei dan Hanbali), dua Usuluddin Islam mazhab Syiah (Ja’fari dan Zaydi),
Usuluddin Islam mazhab Ibadi dan Usuluddin Islam mazhab Thahiri adalah seorang
Islam. Mengisytiharkan seseorang itu sebagai murtad adalah mustahil dan tidak
dibenarkan.
• Terdapat lebih banyak
persamaan antara pelbagai mazhab Usuluddin Islam berbanding dengan perbezaan
antara mereka. Pengikut lapan mazhab Usuluddin Islam ini bersepakat dalam
perkara prinsip asas Islam.
• Semua percayakan Allah
(Tuhan), dimuliakan dan ditinggikan, esa dan unik; al Quran itu suci dan wahyu
yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah, dimuliakan serta tiada sebarang
perubahan dan pindaan; dan Muhammad s.a.w adalah Rasul dan Nabi untuk semua
manusia.
• Semua bersetuju mengenai
lima rukun Islam: mengucap dua kalimah syahadah; solat; mengeluarkan zakat;
berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Mekah. Semua bersepakat
mengenai rukun Iman: percaya kepada Allah, Malaikat, Al Quran, Rasul, Hari
Kiamat dan Qada dan Qadar.
• Ketidaksepakatan antara
ulama antara lapan mazhab Usuluddin Islam itu hanya pada cabang agama (furu’)
dan beberapa asas (usul) [agama Islam]. Ketidaksepakatan tentang cabang agama (furu’) adalah satu rahmat. Lama
dahulu dikatakan bahawa kepelbagaian pendapat dalam kalangan ulama adalah satu
rahmat.
Pelbagaian
pendapat satu rahmat
Fatwa itu diterima dengan
sebulat suara di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam di Mekah pada
Disember 2005 dan oleh enam perhimpunan ulama’ Islam antarabangsa lain,
kemuncaknya dengan Akademi Fekah Islam Antarabangsa yang berpusat di Jeddah
pada Julai 2006.
Jumlahnya, lebih 500 ulama’
Islam terkemuka dari seluruh dunia menerima dengan sebulat suara fatwa dan
Mesej Amman. [Kunjungi laman sesawang rasmi Mesej Amman (Amman Message) untuk
senarai lengkap mereka yang menerima fatwa itu].
Resolusi 152 Akademi Fekah
Islam Antarabangsa, Islam dan Satu Ummah, dan mazhab Usuluddin Islam, menyeru
supaya diketepikan ketidaksepakatan antara orang Islam, menghormati antara satu
sama lain, menguatkan hubungan persaudaraan dan tidak membenarkan perpecahan
dan campurtangan luar.
Ia menasihatkan pengajaran
fekah berkaitan perpaduan Islam kepada pelajar sekolah menengah dan universiti.
Ia menyarankan pihak berkuasa berkaitan di negara Islam mengambil langkah untuk
mencegah percetakan, penyebaran dan pengedaran penerbitan yang menambahkan lagi
perpecahan ummah.
Resolusi 152 juga menekankan
jangan menyalahkan mana-mana lapan mazhab Usuluddin Islam kerana tindakan yang salah daripada pelampau seperti
membunuh mereka yang tidak bersalah, menjatuhkan maruah dan merampas harta mereka.
Terdapat elemen pelampau dalam kalangan Syiah dan Sunni yang di beberapa negara
menggunakan kekerasan, malah kadangkala di dalam masjid sendiri.
Dialog
Sunni-Syiah
Elemen seperti ini perlu
didedahkan dan diasingkan kerana ia menyemai perpecahan dalam kalangan umat
Islam dan memperburukkan lagi Islam. Dialog antara Syiah dan Sunni mestilah
digalakkan dan disuburkan, dan sebarang perbincangan mengenai perbezaan mestilah
dibincangkan dalam suasana persaudaraan.
Imam Khomeini berpesan
kepada golongan Syiah yang mengerjakan Haji agar tidak mengasingkan diri mereka
daripada orang Islam yang lain.
Beliau menasihati jemaah
Haji: “Rakyat Iran dan golongan Syiah dari negara lain dikehendaki untuk
mengelakkan semua tindakan yang boleh menimbulkan perpecahan sesama umat Islam.
Mereka juga perlu menyertai perhimpunan Sunni dan mengelakkan menghadiri atau
membentuk solat di rumah atau memasang pembesar suara untuk menentang mereka.
Mereka mestilah mengelakkan daripada melutut di makam suci atau melakukan apa
sahaja yang tidak selaras dengan undang-undang yang mulia.”
Kita perlu menyedari bahawa
konflik mazhab sebenarnya digalakkan oleh kuasa Barat yang mahu mengenakan
hegemoni mereka ke atas umat Islam dan mengawal sumber di negara Islam. Pecah
dan perintah telah menjadi dasar mereka sejak berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Mereka menipu pemerintah
Arab supaya menyokong perang mereka terhadap Khilafah Usmaniyah dengan
menjanjikan kemerdekaan bagi tanah Arab, tetapi selepas mengalahkan Turki,
Britain dan Perancis membahagikan wilayah antara mereka dan menubuhkan Israel
dan Arab Saudi.
Kita dapat melihat ulangan
dasar yang sama di Iraq, Lebanon dan Pakistan. Kuasa penjajah berusaha untuk
memecahkan negara ini melalui mazhab dan suku kaum; menghasut negara Arab
‘sederhana’ menyertai Amerika Syarikat dan Israel bagi memusnahkan Hizbullah di
Lebanon, Hamas di Palestin dan melakukan pertukaran rejim di Iran.
Ulama’
alat penjajah
Amat dikesalkan sekali,
beberapa ulama’ membenarkan diri mereka digunakan sebagai alat oleh penjajah
dan pemerintah-pemerintah bagi mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Kita perlu memberi perhatian
kepada amaran yang diberikan oleh Imam Khomeini lebih 25 tahun yang lalu:
“Tangan kotor yang memburukkan perbezaan antara Syiah dan Sunni bukanlah
terdiri daripada golongan Syiah dan Sunni.
Ia merupakan tangan penjajah
yang merancang untuk membawa keluar negara Islam daripada tangan kita. Kuasa
penjajah yang mahu merampas kekayaan kita melalui pelbagai skim dan konspirasi
adalah mereka yang melahirkan rancangan untuk mewujudkan perpecahan di antara
fahaman Syiah dan Sunni.”
Kami merayu kepada anda agar
memainkan peranan proaktif dalam menggalakkan perpaduan dalam kalangan umat
Islam dan memberikan publisiti yang meluas kepada Mesej Amman dan Resolusi 152
Akademi Fekah Islam Antarabangsa.
Anda juga perlu menghasilkan
program berhubung sejarah asal cabaran yang dihadapi oleh umat Islam terutama
sekali Balkanisasi dan penjajahan Barat di Semenanjung Arab selepas Perang
Dunia Pertama.
Kami juga menyarankan supaya
penerbit rancangan anda mengkaji The Unmaking of the Middle East oleh Jeremy
Salt dan The Ethnic Cleasing of Palestine oleh Ilan Pappe dan menghasilkan
rancangan berdasarkan karya itu.
Bersama ini saya sertakan
dokumen untuk maklumat anda dan menyebarkannya kepada penerbit rancangan TV Al
Hijrah:
-The Amman Message
-Resolution 152 of the
International Islamic Fiqh Academy
-Ahmed Deedat on Iran: A
nation Reborn
-Qaradawi and Shia-Sunni
dialogue
Kami percaya bahawa anda
akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap ulasan dan saranan dengan
niat untuk menjadikan Al Hijrah sebagai saluran TV yang benar-benar Islam.
(FMT)
No comments:
Post a Comment