Thursday 14 October 2010

AHLI PARLIMEN SILAM TUTUP PEJABAT DI TUNGKU?



KOSONG….Kunsul menunjukkan Pejabat Ahli Parlimen Silam yang ditinggalkan kosong sejak Chong dipercutikan Salleh.

Oleh: SURIATI MAHMUD

MUNGKIN kerana kes pemecatan Ketua Pegawai Perhubungannya, menyebabkan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi terpaksa menutup pejabatnya di Tungku kerana selama ini dibiayai pegawai yang dipecatnya, Chong Su Vun.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Nahul yang menghubungi Krew Sabahkini.net untuk menemani beliau meninjau Pejabat Ahli Parlimen Silam di DUN Tungku yang telah ditutup sehingga penduduk Tungku sukar untuk berurusan dan terpaksa ke Lahad Datu.

“Selama ini Chong yang bayar semua sewa dan gaji pekerja di Pejabat Parlimen di Tungku. Bila dia dipinggirkan, Salleh terpaksa tutup kerana tiada yang mahu bayar sewa,” ujar Kunsul yang memaklumkan Pejabat serupa di DUN Kunak, masih dibuka namun dalam keadaan hidup segan mati tidak mahu.

Kunsul kesal kerana Jabatan Perdana Menteri telah memberi peruntukan RM100,000 untuk Ahli Parlimen Silam menyelenggara pejabat dan membayar gaji kaki tangan, namun keadaan sebaliknya berlaku.

Dalam pada itu, Sabahkini.net berjaya menghubung Mantan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Silam yang dipercutikan Ahli Parlimennya selama dua tahun (sama erti dengan pecat), Chong Su Vun.

Menurut Chong, beliau bersetuju membantu Salleh menyediakan pejabat Ahli Parlimen di Pekan Dengan, Tungku setelah Salleh bersetuju untuk meluluskan projek tertentu bagi menggantikan kos ubahsuai dan penyelenggaraan pejabat.

“Tapi sampai sekarang, satu sen pun dia belum bagi. Tidak ada satu projek pun yang saya dapat. Hanya janji saja. Sekarang dia kasi cuti saya, jadi macam mana mau bayar lagi?,” ujar Chong yang mengakui membayar sewa bulanan RM800 sebulan kepada seorang ahli UMNO Silam sejak dua tahun lalu, tidak termasuk kos ubahsuai dan gaji pekerja yang menelan belanja puluhan ribu.

Bagaimanapun Chong enggan mengulas lanjut dan hanya berharap agar Salleh meneruskan operasi Pejabat di Tungku untuk kemudahan ahli UMNO dan penduduk berurusan kerana ada kakitangan tetap yang beliau gaji selama ini.

“Mana ada free, dia kena bayar sendirilah,” ujar Chong memperingatkan Salleh agar mengubah sikap induvidualistiknya kepada setiakawan sebagaimana yang beliau dakwa sebagai Duta Keamanan. Tapi selama ini yang dia lakukanya hanya huru-hara,” kata Chong yang juga Timbalan Ketua Bahagian LDP Silam.

Chong turut membayangkan akan memfailkan tuntutan ke mahkamah berhubung kes pemecatannya dan pampasan kos penyelenggaraan pejabat di Lahad Datu dan Tungku dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment